Penjelasan Yang Berkaitan
Tentang Estetik Apollonian dan Estetik Dionysian Menurut Friedrich Nietzsche
dalam "The Birth of Tradedy"
The Birth of Tragedy (1872) atau tajuk
asalnya ialah Die Geburt der Tragodie merupakan
buku pertama yang ditulis oleh Friedrich Nietzsche berkaitan seni mengenai
spekulasi falsafah tentang asal usul puisi dan sastera tragedi Yunani. Menerusi buku tersebut,
Nietzsche menggambarkan tentang kesempurnaan kehidupan subjek seni dengan
menampilkan dua roh, iaitu Apollonian dan Dionysian yang saling memberikan
kehidupan yang dinamik dan melengkapi antara satu sama lain. Menurut beliau, Apollonian
dan Dionysian merupakan satu perpaduan yang dapat menghidupkan subjek seni
dalam rangka proses kesedaran manusia moden.
Menurut Nietzsche, Apollo merupakan dewa
matahari atau dikenali juga sebagai dewa cahaya dan berdasarkan mitos Yunani.
Dewa Apollo merupakan anak kepada Dewa Zeus dan Dewa Leto. Simbolisme bagi Dewa
Apollo ialah peralatan memanah perak, kecapi musik, mahkota daun Laurel,
helang, dan griffin. Lambang kepada kesempurnaan kejantanan turut dapat dilihat
menerusi Dewa Apollo. Selain daripada kesempurnaan kejantanan, Dewa Apollo juga
dikenali berdasarkan pemikiran yang rasional dan kebijaksanaan akal fikiran.
Unsur estetik Apollonian amat menyerupai
sifat-sifat yang terdapat pada Dewa Apollo yang bersifat positif, iaitu lebih
kepada kejantanan, logik, keselarasan diri dan kebijaksaan. Terdapat juga
unsur-unsur lain dalam nilai estetik ini seperti ukuran yang tepat, statik,
bersejarah, berpegang kepada keseimbangan, keteraturan, dan rasional. Hal ini berkait rapat dengan
idea individuasi, dimana seseorang individu itu menyediakan dunia disekelilingnya
dengan struktur yang wajar dan salah satu contoh yang bertepatan dengan estetik
ini ialah lukisan formal seperti arca. Seterusnya, estetik
Apollonian juga lebih merujuk kepada alam mimpi yang menekankan kepada cahaya
yang terang, keharmonian, kedamaian, dan keseronokan. Ia bersifat khayalan dan
fantasi semata-mata kerana gambaran kehidupan yang digambarkan menerusi unsur
ini adalah berbeza dengan situasi dunia sebenar. Hal ini kerana estetik
Apollonian menggambarkan tentang keharmonian struktur dan kesepaduan rasional
yang dikaitkan dengan imej, impian dan mimpi serta alam maya yang menyebabkan
manusia merasakan diri mereka dilindungi daripada realiti penderitaan kehidupan
yang sebenar.
Unsur estetik kedua yang terdapat di dalam The Birth of
Tragedy ialah estetik Dionysian. Dionysus merupakan Dewa Kemabukan atau turut
dikenali sebagai Dewa Wine dan Dewa Anggur. Nama Roman bagi Dionysus ialah
Bacchus dan beliau merupakan anak kepada Dewa Zeus dan Puteri Yunani Semele.
Simbolisme bagi Dewa Dionysus ialah mahkota daun Ivy, ular, anggur, Thyrsos
(tongkat Kon Pine), dan chariot yang dibawa oleh harimau. Walaupun Dewa Apollo
dan Dewa Dionysus merupakan anak kepada Dewa Zeus, namun perwatakan mereka amat
berbeza. Dewa Dionysus adalah personifikasi kepada lambang kegilaan dan
kemabukan yang memecahkan watak individu manusia.
Estetik Dionysian mempunyai banyak persamaan
dengan sifat-sifat yang terdapat pada Dewa Dionysus. Hal ini demikian kerana ia
mewakili kepada keghairahan yang tidak terkawal serta penyatuan dengan orang
lain dan alam sekelilingnya dalam keadaan kegilaan seperti yang dapat dilihat
melalui pesta rock. Menurut The Birth of Tragedy, terdapat unsur-unsur lain
yang mencerminkan estetik Dionysian seperti sifat agresif, realiti, emosional,
kekerasan, penderitaan, kesakitan dan huru hara. Unsur estetik ini juga lebih
mengfokuskan kepada dunia kegelapan kerana ia cenderung mengikut hawa nafsu dan
kehendak sehingga mewujudkan suasana di sekitarnya dalam keadaan kegilaan dan
kemabukan yang melampau. Ia juga merupakan cerminan
kepada dunia sebenar kerana dalam realiti dunia sebenar, tidak semua yang
difikirkankan adalah indah seperti yang digambarkan oleh Apollonian. Unsur
estetik Dionysian yang terdapat di dalam lagu, tarian atau musik menggerakkan
kita kepada kegilaan sehingga kita melupakan diri dan jasad badan kerana kita
telah diatasi oleh rasa penyatuan keesaan dengan dunia dan alam sebenar. Walaupun
estetik Dionysian mewakili unsur-unsur negatif, namun hal ini mendorong kepada
lahirnya nilai estetik yang tinggi dalam sesebuah karya seni kerana ia mampu
menghidupkan sesebuah karya tersebut. Penderitaan yang digambarkan di dalam The
Birth of Tragedy merupakan asal-usul perpaduan keesaan yang wujud dalam
unsur-unsur Dionysian yang membawa kita ke dalam pengertian kehidupan yang
sebenar.
Sesebuah hasil seni yang bagus perlu
mempunyai estetik Apollonian dan estetik Dionysian. Hal ini kerana kedua-dua
unsur estetik ini adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Tanpa
Apollonian, sesuatu hasil seni tidak akan mempunyai bentuk, struktur dan
kesepaduan manakala tanpa Dionysian pula, sesuatu hasil seni tersebut tidak
mempunyai daya hidup, semangat dan emosi. Estetik Apollonian memaparkan
penampilan maya akan imej seorang wira tragis, berlainan pula dengan estetik
Dionysian yang lebih kepada ritual tarian, musik dan korus yang memberi laluan
kepada perpaduan keesaan. Dalam keesaan ini, kita merasakan bahawa kita bersatu
dengan wira tragis tersebut dan keghairahan Dionysian tidak akan membiarkan
kejatuhan wira tragis tersebut memberi kesan negatif kepada kita. Oleh itu,
seni gabungan Apollonian dan Dionysian membolehkan kita mempunyai pengertian
secara langsung mengenai penderitaan dan meninggalkan ikrar positif serta kesan
kreatif kepada penonton. Sesebuah hasil seni akan mengalami kerosakan dan tidak
berkualiti sekiranya berlaku ketidakseimbangan kedua-dua unsur tersebut.