Peribahasa
Memasang Lukah Di Pergentingan
Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada
puisi tertua yang berkait rapat dengan kehidupan dan bangsa Melayu. Menurut
Wilkinson (1907), peribahasa Melayu memberi gambaran kepada perwatakan serta
sifat-sifat orang Melayu. Hal ini demikian kerana peribahasa Melayu dicipta
berdasarkan pengalaman hidup yang memaparkan nilai dan hati budi orang Melayu
itu sendiri. Kenyataan ini turut disokong oleh Hamilton (1947) yang berpendapat
bahawa penciptaan peribahasa adalah berpandukan konteks sebenar kehidupan
masyarakat serta menyerlahkan pemikiran bangsa Melayu mengenai alam kehidupan
yang mereka lalui. Peribahasa Melayu dianggap bernilai kerana ia merupakan satu
bentuk pemikiran nenek moyang kita yang terdahulu yang telah kita warisi dari satu
generasi ke generasi yang lain. Pemikiran ini mengandungi unsur-unsur nasihat,
petua, petunjuk dan sindirin yang disampaikan dalam maksud yang tersirat dengan
menggunakan bahasa yang indah dan perumpamaan yang sesuai.
Peribahasa memasang
lukah di pergentingan merupakan peribahasa yang membawa unsur nasihat serta
sindiran. Maksud peribahasa ini menggambarkan perilaku seseorang yang suka
mengambil keuntungan atau kesempatan daripada orang yang sedang menderita. Peribahasa
ini sangat bersesuaian dengan maksud yang dibawa kerana perkataan lukah yang digunakan dalam peribahasa
ini merupakan suatu alat yang diperbuat daripada rotan dan berfungsi untuk
menangkap ikan di sungai. Apabila perkataan lukah
dimasukkan dalam peribahasa ini, ia menunjukkan bahawa seseorang yang bersikap
tidak bertanggungjawab bersiap sedia untuk bertindak dengan menjerat dan
mengambil kepentingan daripada orang yang lemah dan mempunyai masalah.
Peribahasa ini dicipta untuk menyindir sekali gus
memberi nasihat sikap individu yang sering menganiaya orang lain untuk
kepentingan mereka sahaja tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain. Sindiran
dan nasihat yang disampaikan adalah berbentuk halus, namun mempunyai makna yang
mendalam. Kandungan makna yang disampaikan melalui peribahasa ini jelas
menunjukkan bahawa perilaku mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain
telah muncul sejak dari dahulu lagi dan ia masih berlaku sehingga ke hari ini. Perilaku
sebegini seakan-akan sudah sebati dalam diri sesetengah masyarakat Melayu yang malas
berusaha dalam melakukan sesuatu perkara dan mengambil langkah yang mudah
dengan menggunakan orang lain untuk memperoleh kejayaan atau sesuatu yang
diingini.
Lukah
Sejajar dengan perkembangan dunia moden pada masa
kini, peribahasa memasang lukah di
pergentingan ini dapat dikaitkan dengan literasi internet yang semakin maju
mengejar arus zaman. Hal ini demikian kerana dalam era yang serba canggih ini,
manusia mula menyalahgunakan kecanggihan yang sedia ada untuk mengaut
keuntungan daripada pihak lain untuk menaikkan nama mereka dengan cara yang
mudah dan cepat. Contohnya, terdapat banyak kes yang mengaitkan isu akaun
peribadi yang digodam dan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
untuk melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya, seperti membalas dendam dengan mengaibkan
individu tersebut melalui akaun laman sosialnya. Selain itu, aktiviti plagiat
dalam kalangan ‘blogger’ juga semakin
menjadi-jadi, di mana mereka mencedok hasil karya atau tulisan orang lain dan
menyiarkannya sebagai karya sendiri. Tidak ketinggalan para pelajar juga turut
melakukan perkara yang sama dalam melakukan menyiapkan sebarang tugasan yang
diberikan oleh pensyarah kerana langkah ini merupakan langkah termudah bagi
mereka. Hal ini akan memberi kesan buruk terhadap diri mereka kerana pemikiran
mereka tidak dapat berkembang dan meneroka untuk mencari dan memasukkan sesuatu
input yang baru ke dalam minda mereka.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa peribahasa merupakan
satu medium penyampaian yang bermanfaat dari segi nasihat, petua, sindiran, dan
petunjuk. Peribahasa merupakan satu khazanah yang amat bernilai kerana ia
mempunyai unsur estetiknya yang tersendiri dan ia juga merupakan warisan yang
diperturunkan daripada generasi terdahulu yang masih kekal sehingga ke hari
ini. Oleh sebab itu, peribahasa yang sedia ada perlulah diagung-agungkan
penggunaannya agar ia sebati dengan diri generasi muda pada masa kini. Jika
generasi kini mengabaikan penggunaan peribahasa, maka peribahasa akan hilang ditelan
oleh arus zaman. Hal ini kerana, siapa lagi yang akan mengagung-agungkan peribahasa
hasil peninggalan nenek-moyang kita sendiri jika bukan diri kita sendiri.
Rujukan
Hamilton A.W. (1947). Malay proverbs. Singapore: Eastern Universiti Press Ltd.
PowToon
Perbincangan yang sangat menarik. Terima kasih admin atas perkongsian ilmu ini
ReplyDelete