Gambar
1: Alat artikulasi
Alat
artikulasi merupakan organ yang berfungsi untuk mengeluarkan atau menghasilkan
bunyi bahasa. Terdapat banyak alat artikulasi yang terlibat semasa proses
pengeluaran bunyi bahasa, iaitu organ-organ yang terlibat dalam sistem
pengeluaran udara yang keluar masuk ke dalam paru-paru untuk menghasilkan
bunyi. Organ pertuturan manusia ini terbahagi kepada dua, iaitu organ yang
boleh digerak-gerakkan dengan bebas dan organ yang terletak pada kedudukan yang
kekal. Terdapat banyak alat artikulasi yang terlibat dalam pertuturan seharian
manusia dan salah satu daripadanya ialah pita suara.
Gambar
2: Pita suara
Pita suara amat penting
kerana ia dikenali sebagai ‘mesin’ penghasilan bunyi suara manusia. Ia
merupakan salah satu alat artikulasi yang terletak di dalam ruang tenggorok dan
lokasi pita suara adalah berada di antara larinks dan epiglotis. Pita suara
merupakan lipatan yang terbentuk oleh jalur otot licin yang tipis yang terletak
pada sisi bertentangan dengan saluran udara dan ia dilapisi oleh membran mukus.
Ia juga bersambung dari bahagian depan hingga bahagian belakang larinks, dimana
pita suara dilekatkan pada tulang rawan arytenoids
yang muncul sebagai sepasang benjolan di dinding posteriornya. Penguncupan pita
suara dikawal oleh sepasang saraf yang disebut sebagai saraflaryngeal yang berulang. Fungsi utama pita suara adalah
menggetarkan udara yang keluar dari paru-paru untuk membentuk suara.
Oleh kerana pita suara
terdiri daripada dua keping selaput nipis yang boleh terbuka dan tertutup, maka
proses pengeluaran bunyi suara berlaku dengan cara memperluas dan mempersempit
lubang yang terdapat di antara dua keping selaput berkenaan. Terdapat dua jenis
bunyi yang berlaku ketika melalui pita suara, iaitu bunyi bersuara dan bunyi
tidak bersuara. Bunyi bersuara terhasil apabila dua keping selaput pita suara
dalam keadaan rapat dan menyebabkan tekanan pada pita suara apabila udara
melaluinya sehingga menghasilkan getaran pada pita suara. Selain itu, bunyi
tidak bersuara pula terhasil apabila udara keluar melalui dua keping selaput
pita suara yang berkeadaan renggang. Tinggi rendah kelangsingan bergantung
kepada bagaimana pita suara itu diubah suai. Ruang antara pita suara dinamakan
sebagai glotis dan di kawasan tersebut terhasilnya bunyi hentian glotis (/?/).
Gambar
3: Pita suara terbuka dan tertutup
Bunyi
tidak bersuara terhasil apabila dua keping selaput pita suara dalam keadaan
terbuka. Bunyi ini tidak menggetarkan pita suara dan antara contoh bunyi yang
dihasilkan adalah seperti [p], [t]. [k],
[s], dan [h]. Konsonan [t] dihasilkan apabila udara disekat dengan merapatkan
dua bibir atau meletakan hujung lidah pada gusi, lalu lelangit lembut dinaikkan
dan udara ditahan. Jika proses sekatan ini dilepaskan, maka terhasil bunyi [t],
iaitu letupan gusi tidak bersuara. Seterusnya, bunyi [k] terhasil apabila
belakang lidah dirapatkan ke lelangit lembut untuk menyekat arus udara dan
bunyi [k] yang terhasil adalah letupan lelangit lembut yang tak bersuara. Bunyi
[p] pula adalah letupan dua bibir tak bersuara kerana pita suara tidak bergetar
ketika proses penghasilan bunyi. Ia terhasil apabila lelangit lembut dinaikkan
dan bibir dirapatkan sehingga menyebabkan udara tersekat pada dua bibir berkenaan.
Di samping itu, konsonan [s] dihasilkan apabila hadapan lidah dinaikkan ke gusi
untuk membuat sempitan pada arus udara. Ketika ini, lelangit lembut dan anak
tekak dinaikkan ke bahagian belakang rongga tekak bagi menyekat arus udara ke
rongga hidung dan pita suara direnggangkan. Bunyi geseran gusi tidak bersuara
[s] terhasil apabila udara melalui rongga mulut tanpa menggetarkan pita suara.
Konsonan [h] pula dinamakan bunyi geseran glotis tidak bersuara. Ia terhasil
apabila udara keluar melalui pita suara yang renggang dan rongga mulut sama
seperti ketika membunyikan vokal.
Seterusnya, jika pita
suara dalam keadaan tertutup ketika penghasilan bunyi, maka bunyi yang terhasil
adalah bunyi bersuara. Bunyi bersuara ini bertindak menggetarkan pita suara dan
antara contoh bunyi yang dihasilkan adalah [b], [d], dan [g]. Konsonan [d]
dihasilkan apabila udara disekat dengan merapatkan dua bibir atau meletakan
hujung lidah pada gusi, lalu lelangit lembut dinaikkan dan udara ditahan. Bunyi
[d] terhasil apabila pita suara digetarkan, iaitu bunyi letupan gusi bersuara.
Bunyi [g] pula adalah letupan lelangit lembut bersuara. Ia terhasil apabila
pita suara dirapatkan dan arus udara keluar melalui rongga mulut menggetarkan
pita suara. Seterusnya, konsonan [b] merupakan letupan dua bibir bersuara
kerana pita suara bergetar semasa proses penghasilan bunyi. Ia terhasil apabila
lelangit lembut dinaikkan dan bibir dirapatkan. Udara pula tersekat pada dua
bibir berkenaan dan udara tersebut dipaksa keluar.
Kesimpulannya, pita
suara merupakan salah satu alat artikulasi yang penting dalam proses
penghasilan bunyi bahasa. Oleh sebab itu, pita suara perlulah dijaga dengan
sebaik mungkin dan digunakan tanpa melebihi batas ketahanannya kerana jika ia
digunakan secara berlebihan, ia akan menyebabkan berlakunya kerosakkan pada
pita suara berkenaan seperti laringtis.
No comments:
Post a Comment