Wednesday, 8 November 2017

Profil Usahawan Muda - Umi Amera

Profil Usahawan Muda - Umi Amera



Cik Umi Amera Binti Mohammad Salleh atau lebih mesra dipanggil Cik Umi, berusia 24 tahun, telah menceburi bidang perniagaan dari segi penghasilan makanan selama 2 tahun. Pada usia yang begitu muda, beliau telah mengusahakan sebuah premis jualan, iaitu Raqeeyah Snack Boutique yang bertapak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di Kota Bharu, Kelantan. Cik Umi mempunyai kelulusan pada peringkat diploma di Politeknik KotaBharu dalam bidang Diploma Pengajian Perniagaan. Beliau merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik beradik dan belum berkahwin. Di bawah perniagaan Raqeeyah Snack Boutique, beliau telah mengeluarkan dua jenis produk makanan, iaitu bertih jagung dan murukku. Produk yang dihasilkan adalah diwarisi oleh arwah ayahnya, iaitu Encik Mohammad Salleh Bin Che Omar. Semasa beliau masih di bangku sekolah, beliau telah membantu arwah ayahnya, untuk berniaga bertih jagung dan murukku secara kecil-kecilan di Pasar Pagi Wakaf Che Yeh. Beliau turut mengambil peluang untuk menjual bertih jagung dan murukku di sekolah bagi membantu perniagaan arwah ayahnya.
Namun, semasa perniagaan mereka mula meningkat naik, arwah ayahnya telah meninggal dunia akibat penyakit paru-paru berair. Keadaan ini menyebabkan Cik Umi hampir berputus asa kerana hilang tempat untuk bergantung dan perniagaan mereka turut terjejas. Walaupun begitu, beliau sedar bahawa perniagaan yang pernah diusahakan oleh arwah ayahnya harus diteruskan. Beliau bangkit dan mengambil alih perniagaan tersebut dengan harapan perniagaan itu tidak akan terhenti begitu sahaja, malah akan menjadi semakin maju pada suatu hari nanti. Beliau bertekad untuk meneruskan perniagaan kerana beliau tidak mahu perniagaan yang pernah dibangunkan oleh arwah ayahnya berakhir dengan sia-sia. Hal ini merupakan faktor utama yang mendorong Cik Umi untuk menceburi bidang perniagaan. Tambahan pula, beliau juga berminat dalam bidang perniagaan sejak beliau masih kecil lagi. Antara faktor lain yang mendorong beliau untuk terlibat dalam perniagaan ialah beliau ingin berdikari untuk membiayai diri sendiri tanpa menyusahkan orang lain. Beliau juga sedar bahawa berniaga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Keinginan untuk belajar sesuatu yang baru, di samping mendapat sokongan yang kuat daripada ibunya, iaitu Puan Rakiah Binti Hassan turut mendorong Cik Umi untuk menceburi bidang perniaagaan. Selepas tamat diploma, beliau telah menghadiri pelbagai kursus keusahawanan dan pemasaran bagi menambahkan ilmu pengetahuan mengenai bidang perniagaan yang diceburinya  di samping dapat mengetahui tentang selok-belok perniagaan dengan lebih terperinci. Kemudian, beliau mengambil langkah seterusnya, iaitu mendaftarkan perniagaan tersebut di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
 Semasa Cik Umi baru memulakan perniagaan, beliau menghadapi beberapa cabaran dan antaranya adalah kekurangan modal. Oleh sebab kewangan keluarga adalah tidak stabil pada ketika itu, beliau mengambil langkah untuk menggunakan wang simpanan sendiri kerana tidak mahu menyusahkan ibunya. Walaupun ia agak berisiko, namun beliau tetap ingin meneruskan perniagaan tersebut. Selain itu, peningkatan harga barang turut menjadi cabaran kerana harga barang  yang meningkat menyebabkan pengeluaran produk  telah menjadi terhad kerana kekurangan modal. Kerenah pelanggan yang mempunyai pelbagai ragam turut menyebabkan peniaga baru seperti Cik Umi mengalami sedikit kesukaran untuk mengatasinya. Namun begitu, beliau berpegang kepada prinsip “kepuasan pelanggan keutamaan usahawan”. Beliau berusaha sedaya upaya untuk mengutamakan dan memenuhi kehendak pelanggan tanpa rasa jemu. Seterusnya, beliau turut mengalami persaingan dengan peniaga-peniaga lain. Memandangkan Cik Umi masih baru dalam perniagaan, beliau mendapati bahawa agak sukar untuk mengukuhkan perniagaannya setanding perniagaan yang lain. Oleh sebab itu, beliau melakukan sedikit inovasi dengan mengeluarkan empat jenis perisa dalam pengeluaran bertih jagung, iaitu perisa madu, vanilla, coklat dan  keju. Beliau juga mengubah bungkusan bertih jagung tersebut dalam bentuk yang menarik untuk dijadikan cenderamata bagi majlis-majlis tertentu. Inovasi yang dilakukan mendatangkan hasil apabila produk pernigaannya mula mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pembeli. Pengeluaran produk beliau semakin bertambah dari semasa ke semasa kerana beliau menerima tempahan untuk majlis-majlis perkahwinan, hari perayaan, sambutan hari lahir, majlis akikah, dan sebagainya. Produk-produk beliau juga telah dipasarkan ke negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Pahang. Pada usia yang begitu muda, pendapatan Cik Umi telah mencecah sehingga RM3,000 sebulan dan beliau juga berjaya untuk memiliki sebuah kereta hasil daripada titik peluh beliau sendiri. Walaupun perniagaan beliau semakin meningkat, namun beliau mengalami sedikit kesukaran, iaitu kekurangan tenaga kerja kerana permintaan daripada pelanggan semakin bertambah. Di samping itu, beliau juga mengalami kesukaran untuk memasarkan produk dengan lebih meluas ke negeri-negeri lain supaya produk tersebut lebih dikenali oleh orang ramai. Beliau cuba untuk menangani masalah ini dengan mempromosikan produk beliau menerusi media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Instagram, Wechat dan sebagainya.
Pada pendapat Cik Umi, jika seorang usahawan yang baharu ingin menceburi bidang perniagaan, dia hendaklah mempunyai beberapa kemahiran dan antaranya ialah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran ini sangat penting untuk menunjukkan keyakinan seseorang usahawan dan sekali gus dapat menarik minat pelanggan untuk membeli produk yang dipasarkan. Selain itu, usahawan baharu juga perlulah mempunyai kemahiran yang secukupnya mengenai cara untuk memasarkan produk agar mereka dapat bersaing dengan usahawan-usahawan yang lain. Seterusnya, Cik Umi berpendapat bahawa usahawan baharu mestilah mempunyai kemahiran untuk bertutur dalam bahasa Inggeris supaya mereka tidak ketinggalan dan produk mereka senang untuk dipasarkan. Selain itu, kemahiran teknologi  juga amat penting bagi usahawan baharu. Kemahiran ini dapat memudahkan mereka untuk menjalankan hubungan perniagaan dalam talian dan memudahkan mereka untuk mempromosikan produk mereka menerusi media sosial yang sedia ada memandangkan cabaran global yang mempunyai banyak persaingan, sesuai dengan istilah “dunia di hujung jari”. Nasihat Cik Umi kepada usahawan baharu yang ingin menceburi bidang perniagaan ialah mereka haruslah memperbetulkan niat mereka terlebih dahulu. Niat yang baik akan menjadikan seseorang usahawan itu berjaya walaupun terdapat pelbagai rintangan yang mendatang dan matlamat untuk berjaya akan mengatasi ketakutan untuk mencuba. Usahawan baharu juga seharusnya kuatkan semangat dalam menempuhi cabaran dalam perniagaan kerana dunia usahawan tidak semudah yang disangka disebabkan banyak persaingan yang mana menjual barangan yang sama tapi berlainan jenama dan kualiti. Hal ini memerlukan kreativiti dan proaktif daripada kalangan usahawan untuk memajukan perniagaan agar perniagaan mereka dapat bertapak dengan kukuh dan dikenali orang ramai.

No comments:

Post a Comment

Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan

Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada puisi tertua yang berkait rapat dengan kehi...