Thursday, 2 November 2017

Estetik Apollonian dan Estetik Dionysian Menurut Friedrich Nietzsche dalam "The Birth of Tradedy"

Penjelasan Yang Berkaitan Tentang Estetik Apollonian dan Estetik Dionysian Menurut Friedrich Nietzsche dalam "The Birth of Tradedy"

The Birth of Tragedy (1872) atau tajuk asalnya ialah Die Geburt der Tragodie merupakan buku pertama yang ditulis oleh Friedrich Nietzsche berkaitan seni mengenai spekulasi falsafah tentang asal usul puisi dan sastera tragedi Yunani. Menerusi buku tersebut, Nietzsche menggambarkan tentang kesempurnaan kehidupan subjek seni dengan menampilkan dua roh, iaitu Apollonian dan Dionysian yang saling memberikan kehidupan yang dinamik dan melengkapi antara satu sama lain. Menurut beliau, Apollonian dan Dionysian merupakan satu perpaduan yang dapat menghidupkan subjek seni dalam rangka proses kesedaran manusia moden.
Menurut Nietzsche, Apollo merupakan dewa matahari atau dikenali juga sebagai dewa cahaya dan berdasarkan mitos Yunani. Dewa Apollo merupakan anak kepada Dewa Zeus dan Dewa Leto. Simbolisme bagi Dewa Apollo ialah peralatan memanah perak, kecapi musik, mahkota daun Laurel, helang, dan griffin. Lambang kepada kesempurnaan kejantanan turut dapat dilihat menerusi Dewa Apollo. Selain daripada kesempurnaan kejantanan, Dewa Apollo juga dikenali berdasarkan pemikiran yang rasional dan kebijaksanaan akal fikiran.
Unsur estetik Apollonian amat menyerupai sifat-sifat yang terdapat pada Dewa Apollo yang bersifat positif, iaitu lebih kepada kejantanan, logik, keselarasan diri dan kebijaksaan. Terdapat juga unsur-unsur lain dalam nilai estetik ini seperti ukuran yang tepat, statik, bersejarah, berpegang kepada keseimbangan, keteraturan, dan rasional. Hal ini berkait rapat dengan idea individuasi, dimana seseorang individu itu menyediakan dunia disekelilingnya dengan struktur yang wajar dan salah satu contoh yang bertepatan dengan estetik ini ialah lukisan formal seperti arca. Seterusnya, estetik Apollonian juga lebih merujuk kepada alam mimpi yang menekankan kepada cahaya yang terang, keharmonian, kedamaian, dan keseronokan. Ia bersifat khayalan dan fantasi semata-mata kerana gambaran kehidupan yang digambarkan menerusi unsur ini adalah berbeza dengan situasi dunia sebenar. Hal ini kerana estetik Apollonian menggambarkan tentang keharmonian struktur dan kesepaduan rasional yang dikaitkan dengan imej, impian dan mimpi serta alam maya yang menyebabkan manusia merasakan diri mereka dilindungi daripada realiti penderitaan kehidupan yang sebenar.
Unsur estetik kedua yang terdapat di dalam The Birth of Tragedy ialah estetik Dionysian. Dionysus merupakan Dewa Kemabukan atau turut dikenali sebagai Dewa Wine dan Dewa Anggur. Nama Roman bagi Dionysus ialah Bacchus dan beliau merupakan anak kepada Dewa Zeus dan Puteri Yunani Semele. Simbolisme bagi Dewa Dionysus ialah mahkota daun Ivy, ular, anggur, Thyrsos (tongkat Kon Pine), dan chariot yang dibawa oleh harimau. Walaupun Dewa Apollo dan Dewa Dionysus merupakan anak kepada Dewa Zeus, namun perwatakan mereka amat berbeza. Dewa Dionysus adalah personifikasi kepada lambang kegilaan dan kemabukan yang memecahkan watak individu manusia.

Estetik Dionysian mempunyai banyak persamaan dengan sifat-sifat yang terdapat pada Dewa Dionysus. Hal ini demikian kerana ia mewakili kepada keghairahan yang tidak terkawal serta penyatuan dengan orang lain dan alam sekelilingnya dalam keadaan kegilaan seperti yang dapat dilihat melalui pesta rock. Menurut The Birth of Tragedy, terdapat unsur-unsur lain yang mencerminkan estetik Dionysian seperti sifat agresif, realiti, emosional, kekerasan, penderitaan, kesakitan dan huru hara. Unsur estetik ini juga lebih mengfokuskan kepada dunia kegelapan kerana ia cenderung mengikut hawa nafsu dan kehendak sehingga mewujudkan suasana di sekitarnya dalam keadaan kegilaan dan kemabukan yang melampau. Ia juga merupakan cerminan kepada dunia sebenar kerana dalam realiti dunia sebenar, tidak semua yang difikirkankan adalah indah seperti yang digambarkan oleh Apollonian. Unsur estetik Dionysian yang terdapat di dalam lagu, tarian atau musik menggerakkan kita kepada kegilaan sehingga kita melupakan diri dan jasad badan kerana kita telah diatasi oleh rasa penyatuan keesaan dengan dunia dan alam sebenar. Walaupun estetik Dionysian mewakili unsur-unsur negatif, namun hal ini mendorong kepada lahirnya nilai estetik yang tinggi dalam sesebuah karya seni kerana ia mampu menghidupkan sesebuah karya tersebut. Penderitaan yang digambarkan di dalam The Birth of Tragedy merupakan asal-usul perpaduan keesaan yang wujud dalam unsur-unsur Dionysian yang membawa kita ke dalam pengertian kehidupan yang sebenar.
Sesebuah hasil seni yang bagus perlu mempunyai estetik Apollonian dan estetik Dionysian. Hal ini kerana kedua-dua unsur estetik ini adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Tanpa Apollonian, sesuatu hasil seni tidak akan mempunyai bentuk, struktur dan kesepaduan manakala tanpa Dionysian pula, sesuatu hasil seni tersebut tidak mempunyai daya hidup, semangat dan emosi. Estetik Apollonian memaparkan penampilan maya akan imej seorang wira tragis, berlainan pula dengan estetik Dionysian yang lebih kepada ritual tarian, musik dan korus yang memberi laluan kepada perpaduan keesaan. Dalam keesaan ini, kita merasakan bahawa kita bersatu dengan wira tragis tersebut dan keghairahan Dionysian tidak akan membiarkan kejatuhan wira tragis tersebut memberi kesan negatif kepada kita. Oleh itu, seni gabungan Apollonian dan Dionysian membolehkan kita mempunyai pengertian secara langsung mengenai penderitaan dan meninggalkan ikrar positif serta kesan kreatif kepada penonton. Sesebuah hasil seni akan mengalami kerosakan dan tidak berkualiti sekiranya berlaku ketidakseimbangan kedua-dua unsur tersebut.


No comments:

Post a Comment

Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan

Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada puisi tertua yang berkait rapat dengan kehi...