Thursday, 14 December 2017

Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan

Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan


Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada puisi tertua yang berkait rapat dengan kehidupan dan bangsa Melayu. Menurut Wilkinson (1907), peribahasa Melayu memberi gambaran kepada perwatakan serta sifat-sifat orang Melayu. Hal ini demikian kerana peribahasa Melayu dicipta berdasarkan pengalaman hidup yang memaparkan nilai dan hati budi orang Melayu itu sendiri. Kenyataan ini turut disokong oleh Hamilton (1947) yang berpendapat bahawa penciptaan peribahasa adalah berpandukan konteks sebenar kehidupan masyarakat serta menyerlahkan pemikiran bangsa Melayu mengenai alam kehidupan yang mereka lalui. Peribahasa Melayu dianggap bernilai kerana ia merupakan satu bentuk pemikiran nenek moyang kita yang terdahulu yang telah kita warisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Pemikiran ini mengandungi unsur-unsur nasihat, petua, petunjuk dan sindirin yang disampaikan dalam maksud yang tersirat dengan menggunakan bahasa yang indah dan perumpamaan yang sesuai.

Peribahasa memasang lukah di pergentingan merupakan peribahasa yang membawa unsur nasihat serta sindiran. Maksud peribahasa ini menggambarkan perilaku seseorang yang suka mengambil keuntungan atau kesempatan daripada orang yang sedang menderita. Peribahasa ini sangat bersesuaian dengan maksud yang dibawa kerana perkataan lukah yang digunakan dalam peribahasa ini merupakan suatu alat yang diperbuat daripada rotan dan berfungsi untuk menangkap ikan di sungai. Apabila perkataan lukah dimasukkan dalam peribahasa ini, ia menunjukkan bahawa seseorang yang bersikap tidak bertanggungjawab bersiap sedia untuk bertindak dengan menjerat dan mengambil kepentingan daripada orang yang lemah dan mempunyai masalah.

Peribahasa ini dicipta untuk menyindir sekali gus memberi nasihat sikap individu yang sering menganiaya orang lain untuk kepentingan mereka sahaja tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain. Sindiran dan nasihat yang disampaikan adalah berbentuk halus, namun mempunyai makna yang mendalam. Kandungan makna yang disampaikan melalui peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa perilaku mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain telah muncul sejak dari dahulu lagi dan ia masih berlaku sehingga ke hari ini. Perilaku sebegini seakan-akan sudah sebati dalam diri sesetengah masyarakat Melayu yang malas berusaha dalam melakukan sesuatu perkara dan mengambil langkah yang mudah dengan menggunakan orang lain untuk memperoleh kejayaan atau sesuatu yang diingini.


Lukah

Sejajar dengan perkembangan dunia moden pada masa kini, peribahasa memasang lukah di pergentingan ini dapat dikaitkan dengan literasi internet yang semakin maju mengejar arus zaman. Hal ini demikian kerana dalam era yang serba canggih ini, manusia mula menyalahgunakan kecanggihan yang sedia ada untuk mengaut keuntungan daripada pihak lain untuk menaikkan nama mereka dengan cara yang mudah dan cepat. Contohnya, terdapat banyak kes yang mengaitkan isu akaun peribadi yang digodam dan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya, seperti membalas dendam dengan mengaibkan individu tersebut melalui akaun laman sosialnya. Selain itu, aktiviti plagiat dalam kalangan ‘blogger’ juga semakin menjadi-jadi, di mana mereka mencedok hasil karya atau tulisan orang lain dan menyiarkannya sebagai karya sendiri. Tidak ketinggalan para pelajar juga turut melakukan perkara yang sama dalam melakukan menyiapkan sebarang tugasan yang diberikan oleh pensyarah kerana langkah ini merupakan langkah termudah bagi mereka. Hal ini akan memberi kesan buruk terhadap diri mereka kerana pemikiran mereka tidak dapat berkembang dan meneroka untuk mencari dan memasukkan sesuatu input yang baru ke dalam minda mereka.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa peribahasa merupakan satu medium penyampaian yang bermanfaat dari segi nasihat, petua, sindiran, dan petunjuk. Peribahasa merupakan satu khazanah yang amat bernilai kerana ia mempunyai unsur estetiknya yang tersendiri dan ia juga merupakan warisan yang diperturunkan daripada generasi terdahulu yang masih kekal sehingga ke hari ini. Oleh sebab itu, peribahasa yang sedia ada perlulah diagung-agungkan penggunaannya agar ia sebati dengan diri generasi muda pada masa kini. Jika generasi kini mengabaikan penggunaan peribahasa, maka peribahasa akan hilang ditelan oleh arus zaman. Hal ini kerana, siapa lagi yang akan mengagung-agungkan peribahasa hasil peninggalan nenek-moyang kita sendiri jika bukan diri kita sendiri.

Rujukan
Hamilton A.W. (1947). Malay proverbs. Singapore: Eastern Universiti Press Ltd.
PowToon

Wilkinson, R. J. (1907). Papers on Malay subject 1: Malay Literature. London: Luzac & C

Wednesday, 13 December 2017

Hadiah Dari Syurga

Hadiah Dari Syurga

Karya: Aida Rasmi


Selamat pengantin baru,
Selamat berbahgia,
Selamat ke anak cucu,
Selamat sejahtera.”

Masih kedengaran nyanyian lagu “Selamat Pengantin Baru” yang didendangkan dengan begitu merdu sekali oleh sahabatku, Adriana pada hari yang paling bahagia dalam hidupku. Persembahan silat diiringi paluan kompang menghiasi majlis dan memeriahkan suasana yang awalnya suram. Aku memilih untuk mengakhiri zaman bujangku tatkala mencecah umur 22 tahun.

Macam tak ade lelaki lain aje nak dijadikan suami. Suami orang juga yang dipilihnya.”

Alahh, ‘pisau cukur’ memang macam tu. Pantang nampak lelaki kaya, habis dia nak sapu.”

Begitulah cemuhan dan tomahan yang aku terima tatkala aku membuat keputusan untuk berkahwin dengan lelaki yang aku cintai, Hisham. Ya, beginilah akibatnya jika membuat keputusan untuk berkahwin dengan seseorang yang berpangkat tinggi dan bergelar suami orang, namun bukan harta yang aku kejar. Pernah aku cuba untuk menafikan perasaan cintaku terhadap dia kerana aku tidak ingin menyakiti hati wanita lain, namun akhirnya aku tewas. Aku terlalu menyayangi dia dan aku nekad untuk berhadapan dengan semua risiko yang bakal aku hadapi. Mungkin ini adalah takdir yang telah terukir dalam hidupku.

Aku memberanikan diri untuk bertemu dengan isteri dia dan pertemuan itu disambut dengan baik. Raut wajah wanita itu cukup tenang dan menyejukkan mata. Ketakutan yang menyelubungi hati mulai hilang apabila aku memandangnya. Dia memulakan bicara dengan membahasakan dirinya sebagai Kak Juehana. Walaupun dia sudah mengetahui tujuan kehadiranku, namun dia masih mampu untuk tersenyum dan melayaniku dengan baik. Aku mula menyusun kata bagi menyampaikan hasratku untuk menjadi isteri kedua kepada suaminya.

Baiklah, akak benarkan. Janji dengan akak, jaga suami akak elok-elok ya. Itu aje yang akak minta. Tak susah, bukan?”

Tanpa dijangka, hasratku diterima dengan tenang. Aku terkejut dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Kak Juehana kerana aku yakin tiada seorang pun wanita ingin hidup bermadu. Dia berbeza daripada wanita lain. Dia melayani aku seperti adiknya sendiri, malah dia turut membantuku untuk menyiapkan persiapan perkahwinan. Disebalik senyuman yang terukir di bibirnya, aku nampak kesakitan yang cuba dia sembunyikan. Oleh kerana karier aku sebagai seorang pelakon dan model, dia tidak meminta lebih daripada aku, cukup sekadar aku tidak melibatkan dia dan suami dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan kerjaya aku. Aku akur kehendaknya.

***

Uweekkkk... Uweekkk…”

Tangisan bayi memecahkan kesunyian pada dini hari. Dingin subuh tak terasa, kesakitan yang aku rasai bagaikan tubuh disiat-siat hilang dalam sekelip mata tatkala aku mendengar tangisan suara-suara kecil tersebut. Masa berlalu begitu pantas tanpa aku sedari. Akhirnya, setelah dua tahun aku mendirikan rumah tangga bersama Hisham, kami dikurniakan sepasang cahaya mata kembar sebagai pelengkap dan penyeri hidup kami pada tanggal 10 Jun 1996. Tiada kata yang mampu aku ungkapkan pada ketika itu selain lafaz syukur ke hadrat Ilahi atas pemberian terindah ini kerana aku sedar bahawa tidak semua wanita mampu untuk merasai pengalaman sebegini.

Tubuh kecil yang berlumuran darah telah dibersihan, bau darah masih mencucuk rongga hidung. Aku peluk cium kedua-duanya. Sungguh, jari jemari yang halus dan kecil itu menyentuh hati kecil aku. Aku mengucup pipi gebu mereka. Terasa nyaman sekali apabila aku menghidu bau mereka. Ya, bau dari syurga. Air mata mengalir lembut tatkala aku sedang leka menatap dan mengusap wajah-wajah mereka yang masih kemerah-merahan. Aku tidak menyangka bahawa pada usia 24 tahun, aku sudah menjadi ibu. Perasaan gembira pada ketika itu terlalu sukar untuk aku gambarkan.

Hari tu sayang cakap sayang nak pilih nama untuk anak kita, kan? Dah pilih ke belum?” tanya suamiku sambil mengusap lembut rambutku.

Dah, bang. Anak kita yang pertama ni saya nak namakan dia Muhammad Syafiq Haikal dan yang kedua ni Muhammad Syakhir Hadiff. Cantik kan nama mereka, bang?” aku soal sambil melirik manja ke arah Hisham.

***

Hari silih berganti hari, Syafiq dan Syakhir kini kian membesar. Rasanya baru sahaja semalam aku melahirkan mereka, namun kini usia mereka sudah mencecah tiga tahun. Semenjak adanya kehadiran mereka, aku menerima lebih banyak tawaran berlakon berbanding sebelum ini. Bak kata orang, rezeki anak tak kemana. Walaupun aku sibuk melakar kerjaya dalam bidang seni, namun tidak pernah sesekali aku membenarkan kerjayaku meragut masa dan ruangku untuk bersama anak-anak.

Kesibukan kerja tidak pernah menjadi alasan untuk aku mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Kerjaya sebagai pelakon sememangnya tidak semudah apa yang disangka terlalu banyak komitmen yang tinggi diperlukan, namun sebagai seorang ibu, aku tidak akan membiarkan anak-anakku terabai dek kerjaya. Dalam tempoh tiga tahun, aku menjaga Syafiq dan Syakhir ibarat menatang minyak yang penuh. Bagi aku, melihat mereka membesar di hadapan mataku sendiri adalah satu detik yang paling berharga dalam hidup aku.

Ibu, nak shushu,” pinta Syakhir.

Dengan segera aku mengangkat punggung dari kerusi rotan dan terus menuju ke dapur. Belum sempat aku siap membancuh susu, kedengaran suara tangisan Syakhir dari ruang tamu. “Haus agaknya budak ni,” fikirku. Gerak langkahku segera diatur menuju ke arah anak kecilku sebelum tangisan tersebut menjadi semakin kuat. Sedang leka aku memerhati karenah anak-anak yang sedang sibuk bermain pada petang itu, aku disapa dengan perasaan hairan. Mana tidaknya, aku melihat kebolehan Syafiq dan Syakhir jauh berbeza. Syakhir sudah pandai berkata-kata walaupun agak pelat, namun si abangnya belum mengeluarkan sepatah kata. Tidak ada sebaris ayat yang keluar daripada bibir Syafiq. Ada kalanya Syafiq bertindak menghantuk kepalanya ke dinding sehingga bengkak.

Kenapa tiada sepatah perkataan pun mampu dituturkan oleh Syafiq? Normal ke budak sebesar ini masih tidak mampu bercakap dan berkelakuan sebegini? Aishh, tak boleh jadi ni,” getus hati kecilku.

Keesokan harinya, aku membawa Syafiq dan Syakhir berjumpa dengan pakar psikiatri kanak-kanak bagi mendapatkan kepastian mengenai hal tersebut. Aku cuba berlagak tenang ketika anak-anakku diperiksa walaupun jauh di lubuk hati, peraaan gelisah menghantui aku.

Puan, saya harap puan kuat ye,” Doktor Am mula bersuara.

Mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Doktor Am mula membuatkan aku semakin gelisah. “Mesti ada benda tak kena ni,” fikirku. Senyumanku mula pudar, wajahku yang pada awalnya tersenyum manis memandang doktor tersebut mula bertukar menjadi serius.

Kenapa, doktor? Apa yang tak kena dengan anak saya? Anak saya baik-baik aje kan?” perasaan ingin tahu mula memuncak dalam diriku.

Maaf puan. Selepas saya memeriksa anak-anak puan, saya mendapati kedua-dua anak puan mengalami masalah autisme, tetapi autisme yang dialami oleh mereka berdua adalah berlainan. Si abang ni menghidapi autisme tahap hyperactive, si adik pula menghidapi austime tahap sederhana. Saya tahu berat untuk puan terima semua ni tapi saya harap puan banyakkan bersabar. Puan jangan bimbang. Saya akan bekalkan ubat penenang kepada Syafiq memandangkan dia tergolong dalam hyperactive. Puan perlu pastikan dia telan ubat ni dua kali sehari.”

Aku terdiam seribu bahasa mendengar kata-kata tersebut. Seakan sebuah tamparan hebat mengena tepat ke arah muka. Hati aku bagai dipukul badai .Mata aku mula berkaca, manik-manik jernih mulai mengalir laju bagaikan air terjun. Aku terkejut dengan apa yang diperkatakan. Mereka persis kanak-kanak normal. Raut wajah dan reaksi mereka sama seperti kanak-kanak lain. “Tidak mungkin anak-anakku menghidapi autisme,” aku cuba menafikan kebenaran. Terasa hidupku gelap seketika mengetahui kebenaran ini. Walaupun sakit, aku reda pada ketentuan takdir. Aku terima segala kekurangan mereka. Aku percaya semua ini berlaku, mesti ada hikmahnya.

***

Kehidupanku membesarkan anak-anak autisme menjadi semakin mencabar hari demi hari. Makin mereka membesar, kian hebat cabaran yang perlu aku tempuh. Kini, Syafiq dan Syakhir sudah mencecah sepuluh tahun. Mereka sudah pun memiliki dua orang adik, iaitu Syahmi dan Syarif. Alhamdulillah kedua-duanya adalah normal. Sungguhpun begitu, dengan berat hati terpaksa aku serahkan Syahmi dan Syarif dibawah jagaan Kak Juehana demi keselamatan mereka. Mana tidaknya, kelakuan Syafiq dan Syakhir sukar untuk diduga.

Walaupun kedua-dua mereka menghidapi autisme, namun karakter mereka cukup berbeza. Mereka ibarat saling melengkapi antara satu sama lain. Kelakuan Syafiq lebih terdorong kepada hiperaktif, mood tidak dapat dijangka, serta tidak boleh membaca dan berkomunikasi. Berbeza sekali dengan Syakhir, Syakhir lebih bersifat sebagai pelindung kepada abangnya. Apabila aku membawa mereka keluar berjalan-jalan, Syakhir akan segera memegang tangan Syafiq kerana khuatir abangnya akan lari dan menghilangkan diri. Syakhir juga mahir dalam pengiraan dan mengingat sesuatu perkara. Aku terkejut apabila dia mampu mengingati nama kesemua Perdana Menteri Malaysia termasuk tarikh pemerintahannya. Aku tergamam dengan kebolehan yang ada pada dirinya. Namun begitu ada kalanya Syakhir mula bertindak kasar. Dia akan memukul orang yang rapat dengannya apabila kehendaknya tidak dituruti dan moodnya tidak baik.

Oleh kerana aku melihat kebolehan terdapat pada diri Syakhir, aku membuat keputusan untuk menghantarnya ke sekolah, manakala Syafiq pula perlu tinggal di rumah untuk dipantau dengan rapi. Selepas beberapa tahun, aku terpaksa memberhentikan Syakhir dari sekolah setelah dia menghilangkan diri ketika habis waktu persekolahan. Puas aku mencarinya dari tengah hari hingga ke malam, akhirnya ditemui apabila polis menelefonku dan memberitahu bahawa anakku berada di balai setelah dijumpai sesat di tengah kota. “Apa yang akan jadi sekiranya polis tidak menjumpai Syakhir? Bagaimana jika dia dilanggar ketika melintas jalan?” fikiranku kusut memikirkan nasib akan mungkin menimpa Syakhir. Setelah peristiwa itu, aku serik untuk menghantar Syakhir ke sekolah.

Aku tidak segan memperkenalkan Syafiq dan Syakhir kepada orang ramai. Sering sahaja aku membawa mereka keluar semata-mata ingin mendedahkan mereka kepada persekitaran suasana luar agar mereka tidak terkongkong di dalam dunia mereka sahaja. Meskipun begitu ada sahaja peristiwa yang tidak diingini akan berlaku. Pernah aku membawa mereka keluar makan di sebuah restoran. Seperti biasa, Syafiq tidak duduk diam. Dia berjalan ke hulu ke hilir dan tanpa aku sedari, dia bertindak meminum air pelanggan yang lain.

Woi! Engkau dah kenapa? Tak ada duit ke nak beli air sampai minum air orang?” tengking pelanggan tersebut sehingga membuatkan pelanggan yang lain tersentak dengan laungan suaranya.

Maafkan saya, encik. Anak saya autisme. Tolong maafkan dia. Nanti saya ganti balik,” pintaku.

Dah tahu anak tu autisme buat apa bawa dia keluar? Tak reti nak simpan elok-elok dekat rumah? Menyusahkan orang tahu tak?!” tengkingnya lagi.

Tolong cakap elok-elok, encik. Saya dah minta maaf, apa lagi yang encik mahukan? Setakat air ni bukannya saya tak mampu nak bayar. Lagipun, anak saya bukannya saje-saje nak bertindak sedemikian. Tolong cakap guna akal lain kali,” aku membela Syafiq

Aku meminta pelayan untuk menggantikan air tersebut, lalu aku menuju ke kaunter untuk membayarnya. Aku menarik tangan Syafiq dan Syakhir keluar dari tempat itu. Syafiq dan Syakhir hanya mengikut gerak langkah yang aku atur dengan wajah yang kebingungan. Air mataku mengalir laju mengenangkan peristiwa itu.

Mengapa orang tidak boleh mengerti dan menerima kekurangan anak-anak aku? Apa salah mereka? Bukan mereka minta untuk lahir sebegini,” rintihku.

Tiada seorang ibu pun yang mampu menahan perasaan apabila anak-anak mereka diherdik, ditengking, dan dimalukan di hadapan orang ramai atas kesalahan yang tidak mereka sengajakan. Kanak-kanak autisme sering dilayan dengan kasar kerana kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat. Sedang aku menahan perasaan amarahku, dengan tidak semena-mena Syafiq dan Syakhir datang memeluk dan mencium dahiku. Mereka seakan-akan mengerti akan perasaanku.

***

Aku diuji dengan hebat ketika usiaku genap mencecah 35 tahun. Peristiwa yang terjadi pada 22 Julai 2007 masih tidak mampu untuk aku lupakan.

Kring…. Kring….,” telefon berbunyi.

Assalamualaikum, Sofea. Sofea ada kat mana?” soal ibuku dengan nada yang cemas.

Sofea ada kat set, tengah tunggu scene yang seterusnya. Kenapa, mak?” tanyaku dengan hati yang kurang enak.

Balik cepat, Sofea. Syafiq dan Syakhir bergaduh teruk ni, siap ambil pisau kat dapur.”

Hatiku tidak keruan. Aku meletakkan panggilan ibuku, dan menelefon polis dengan segera. Aku mencapai beg tangan dan terus beredar dari set tanpa memikirkan kru produksi yang lain. Sebaik tiba di rumah, polis telah pun selamat meleraikan pergaduhan antara dua beradik tersebut. Aku bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh mereka.

Tindakan aku meninggalkan set tanpa sebarang kata menyebabkan aku dimarahi oleh pihak produksi dan aku dilabelkan sebagai artis yang bermasalah. Aku nekad untuk mengorbankan kerjayaku. Bukan kerana aku makan hati dengan apa diperkatakan oleh pihak produksi kerana aku akui itu merupakan kesalahanku, tetapi aku melakukan kesemua ini demi kepentingan anak-anakku. Peristiwa itu membuatkan aku sedar bahawa tempatku sebenarnya adalah di rumah, memantau pergerakan anak-anak dan memberikan mereka perhatian yang lebih.

Di rumah, aku cuba mencari sumber pendapatan sampingan sambil menjaga Syafiq dan Syakhir. Aku membuat keputusan untuk berniaga barangan kosmetik, kuih raya, pakaian, pulut kuning. Perniagaanku banyak dibantu oleh Kak Juehana. Dia memberikan banyak aku tunjuk ajar dalam selok-belok perniagaan memandang dia juga merupakan usahawan. Aku bersyukur kerana dikurniakan seorang madu yang cukup baik budi pekertinya, yang sanggup menjaga anak-anakku dan membantuku dalam bidang yang baru aku ceburi, iaitu perniagaan. Pada awalnya aku hampir putus asa dalam bidang perniagaan kerana produk-produk jualanku mendapat sambutan yang hambar, tetapi Kak Juehana tetap mendorongku dengan kata-kata semangat beliau untuk meneruskan langkah ke hadapan.

Suami dia berpangkat Datuk Seri tapi hidup dia dan anak-anak macam kena abaikan aje aku tengok.”

Tu la. Lain kali kahwin lagi dengan laki orang. Dia ingat dia kahwin dengan orang kaya, dia dapat hidup senang? Memang tak la.”

Aku hanya mampu tersenyum mendengar ayat-ayat sebegitu walaupun agak pahit untuk ditelan. Hisham tidak pernah mengabaikan tanggungajawabnya terhadap aku dan anak-anak, cuma aku sahaja yang tidak boleh duduk diam mengharapkan duit seorang lelaki. Walaupun aku berkahwin dengan orang yang berpangkat tinggi, namun aku masih perlu berdikari kerana aku ingin membuktikan bahawa aku bukannya seorang kaki kikis.

***

Pang!!” kedengaran bunyi kaca pecah dari tingkat atas.

Aku yang sedang sibuk mengukus pulut kuning terus bergegas naik untuk melihat apa yang terjadi.

Arghhhhhh!!!! Arghhhhhhhh!!!” Syafiq memberontak.

Abang, bertenang, bang. Ibu ada ni,” pujukku.

Syafiq yang tidak dapat mengawal dirinya bertindak membaling kotak hiasan yang diperbuat daripada kayu ke arahku. Kotak itu singgah tepat di dahiku. Mataku berpinar, kepalaku sakit. Terasa cecair merah hangat mengalir di dahiku. Aku melihat Syafiq memukul-mukul dirinya. Dia melompat ke sana ke sini di atas katilnya sehingga katil tersebut roboh. Kepalanya dihantuk ke dinding sehingga wajah dan bajunya berlumuran darah. Syakhir dengan segera mencapai dan memaksa Syafiq menelan ubat penenang yang dibekalkan oleh doktor, namun Syafiq bertindak lebih agresif dengan memukul wajah adiknya.

Aku mula hilang sabar. Aku gagahkan diri aku untuk bangun dan terpaksa mengasari Syafiq untuk menelan ubat tersebut. Aku juga memaksa diriku dan Syakhir untuk menelan ubat yang sama kerana aku sudah tidak tahan dengan apa yang berlaku. Entah hantu mana yang sampuk aku pada ketika itu sehingga aku bertindak sedemikian.

Tidak sampai satu jam selepas aku menelan ubat tersebut, aku terus lembik dan terbaring tak berdaya. Aku merasakan seakan satu badanku lumpuh serta-merta. Kepalaku berpusing. Mata ku terkatup, gelap gelita. Aku dalam keadaan sedar tetapi aku tidak mampu untuk melangkah walaupun setapak. Aku melihat ke arah Syafiq dan Syakhir. Mereka turut terkulai layu.

Ya Allah! Inikah kesan ubat yang kami paksa Syafiq untuk telan setiap hari? Inikah ubat yang telah membisu, menuli, dan membutakan segala pancaindera manusiawinya sehingga dia lemah selemahnya, tidak berdaya?” raung hati kecilku.

Ya, selepas peristiwa itu, aku nekad untuk menghentikan pemberian ubat kepada Syafiq. Aku tahu risiko yang perlu aku hadapi amat tinggi, namun aku tidak sanggup menyeksa anak kandungku sendiri. Memaksanya mematuhi rutin ubat-ubatan itu membuatkan aku sedar betapa aku telah merampas waktu gembiranya. Betapa aku telah merentap waktu sedarnya. Aku menzalimi saat bebasnya, aku pejamkan matanya sewaktu dia masih mahu melihat. Biarlah dia meronta. Selagi mampu aku tenangkan, aku akan tenangkannya. Benarlah sebagai seorang ibu, kita harus mengambil tahu apa yang kita suap ke dalam mulut anak-anak kita. Terkadang kita mementingkan diri sendiri. Kita sanggup membiarkan anak-anak menelan ubat yang menyeksa badan semata-mata untuk ketenangan diri sendiri. Aku berasa sangat bersalah kepada Syafiq. Aku berjanji kepada diriku sendiri, aku tidak akan sesekali membiarkan Syafiq menyentuh ubat itu lagi kecuali saat-saat yang amat memerlukan dia menelannya.

***

Alhamdulillah, hidupku kini semakin ceria. Setelah sepuluh tahun aku menyepi, akhirnya aku kembali semula ke dalam bidang lakonan. Aku bersyukur kerana kebanyakan pihak produksi mampu untuk memahami situasi yang aku alami. Mereka turut memberi kata-kata semangat untuk aku meneruskan perjuanganku membesarkan anak-anak autisme.

Syafiq dan Syakhir sudah pun dewasa. Walaupun adakalanya mereka masih memberontak dan tidak mampu untuk dikawal, namun aku semakin kuat dan tabah untuk mengharungi semua ini. Terima kasih kepada Tuhan kerana meminjamkan aku kekuatan ini. Benar, Allah tidak akan memberi kita sesuatu ujian yang tidak mampu kita hadapi. Ujian yang diberi adalah tanda Dia masih sayang akan hambaNya. Kehadiran Syafiq dan Syakhir merupakan satu hidayah bagiku. Aku mula mendekati Allah dengan semakin rapat dan atas nasihat serta teguran Syakhir, aku mula mengubah penampilanku dengan memakai hijab. Dia juga sering mengingatkan aku mengenai solat lima waktu setiap kali azan berkumandang. Sungguh indah aturan hidup yang Engkau ciptakan untukku, Ya Allah. Aku bersyukur kepadaMu kerana mengurniakan aku anak-anak syurga yang begitu indah.

Aku tahu bahawa kesedaran mengenai autisme masih kurang dalam kalangan masyarakat di sekelilingku. Sering sahaja aku memuat naik gambar dan video mengenai kehidupan Syafiq dan Syakhir menerusi laman sosial, tetapi seperti biasa ada sahaja masyarakat yang mencemuh dan berpendapat bahawa aku cuba meraih simpati murahan. Aku tidak berkecil hati, malah aku sentiasa berdoa agar masyarakat dapat melihat mesej yang ingin aku sampaikan melalui setiap sisipan gambar dan video tersebut. Bukan simpati yang aku minta, cuma kesedaran daripada kalian agar anak-anak autisme ini diberi perhatian dan dibelai sama seperti anak-anak normal yang lain.

Hidup ini cukup indah sebenarnya jika kita cuba mendalami setiap ujian yang diturunkan oleh Tuhan. Ujian tersebut bukanlah satu beban, tetapi merupakan satu tiket yang membawa kita kepada kebahagiaan yang mendatang. Anak-anak autisme bukan bahan kutukan, ia adalah titipan teristimewa daripada Tuhan. Mereka terlahir ke dunia untuk disayangi tanpa sebarang kekerasan. Ibu bapa tidak perlu malu. Tuhan menitipkan anak istimewa kepada kita kerana kita ialah ibu bapa yang istimewa di mata Tuhan.

Wednesday, 8 November 2017

Resepi Whipping Cheese Cake

Whipping Cheese Cake


Bahan-bahan
  • 5 bijik telur gred A (asingkan telur putih dan telur merah)
  • 3/4 cawan tepung "self-rising" (ayak)
  • 1/2 cawan tepung jagung (ayak)
  • 1/2 cawan whipping cream
  • 300g cream cheese
  • 3 sb butter
  • 1/2 cawan gula halus
  • 1 sk cream of tartar
  • 2 sb air perahan lemon


Cara-cara
  1. Cairkan cream cheese menggunakan kaedah "double-boiler".
  2. Bile cream cheese dah cair, masukkan air perahan lemon dan telur merah satu per satu sambil kacau.
  3. Kemudian, masukkan tepung "self-rising" dan tepung jagung. Kacau hingga sekata.
  4. Panaskan "whipping cream" dan "butter" sehingga cair dalam bekas berasingan.
  5. Masukkan adunan "whipping cream" ke dalam adunan "cream cheese" dan kacau hingga sebati.
  6. Dalam bekas yang berasingan, putar telur putih dan "cream of tartar" sehingga berbuih.
  7. Apabila telur putih bertukar kepada "soft peak", masukkan gula halus dan putar sehingga "meringue" atau kental.
  8. Masukkan adunan "meringue" ke dalam adunan "cream cheese" sedikit demi sedikit dan kacau dengan kaedah kaup balik.
  9. Tuangkan adunan ke dalam loyang bersaiz 8 yang telah dilapik dengan baking paper.
  10. Bakar selama sejam dengan suhu 160 darjah Celcius menggunakan kaedah "water bath".
  11. Apabila dah masak, sejukkan dan hias mengikut kreativiti masing-masing.

Profil Usahawan Muda - Umi Amera

Profil Usahawan Muda - Umi Amera



Cik Umi Amera Binti Mohammad Salleh atau lebih mesra dipanggil Cik Umi, berusia 24 tahun, telah menceburi bidang perniagaan dari segi penghasilan makanan selama 2 tahun. Pada usia yang begitu muda, beliau telah mengusahakan sebuah premis jualan, iaitu Raqeeyah Snack Boutique yang bertapak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di Kota Bharu, Kelantan. Cik Umi mempunyai kelulusan pada peringkat diploma di Politeknik KotaBharu dalam bidang Diploma Pengajian Perniagaan. Beliau merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik beradik dan belum berkahwin. Di bawah perniagaan Raqeeyah Snack Boutique, beliau telah mengeluarkan dua jenis produk makanan, iaitu bertih jagung dan murukku. Produk yang dihasilkan adalah diwarisi oleh arwah ayahnya, iaitu Encik Mohammad Salleh Bin Che Omar. Semasa beliau masih di bangku sekolah, beliau telah membantu arwah ayahnya, untuk berniaga bertih jagung dan murukku secara kecil-kecilan di Pasar Pagi Wakaf Che Yeh. Beliau turut mengambil peluang untuk menjual bertih jagung dan murukku di sekolah bagi membantu perniagaan arwah ayahnya.
Namun, semasa perniagaan mereka mula meningkat naik, arwah ayahnya telah meninggal dunia akibat penyakit paru-paru berair. Keadaan ini menyebabkan Cik Umi hampir berputus asa kerana hilang tempat untuk bergantung dan perniagaan mereka turut terjejas. Walaupun begitu, beliau sedar bahawa perniagaan yang pernah diusahakan oleh arwah ayahnya harus diteruskan. Beliau bangkit dan mengambil alih perniagaan tersebut dengan harapan perniagaan itu tidak akan terhenti begitu sahaja, malah akan menjadi semakin maju pada suatu hari nanti. Beliau bertekad untuk meneruskan perniagaan kerana beliau tidak mahu perniagaan yang pernah dibangunkan oleh arwah ayahnya berakhir dengan sia-sia. Hal ini merupakan faktor utama yang mendorong Cik Umi untuk menceburi bidang perniagaan. Tambahan pula, beliau juga berminat dalam bidang perniagaan sejak beliau masih kecil lagi. Antara faktor lain yang mendorong beliau untuk terlibat dalam perniagaan ialah beliau ingin berdikari untuk membiayai diri sendiri tanpa menyusahkan orang lain. Beliau juga sedar bahawa berniaga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Keinginan untuk belajar sesuatu yang baru, di samping mendapat sokongan yang kuat daripada ibunya, iaitu Puan Rakiah Binti Hassan turut mendorong Cik Umi untuk menceburi bidang perniaagaan. Selepas tamat diploma, beliau telah menghadiri pelbagai kursus keusahawanan dan pemasaran bagi menambahkan ilmu pengetahuan mengenai bidang perniagaan yang diceburinya  di samping dapat mengetahui tentang selok-belok perniagaan dengan lebih terperinci. Kemudian, beliau mengambil langkah seterusnya, iaitu mendaftarkan perniagaan tersebut di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
 Semasa Cik Umi baru memulakan perniagaan, beliau menghadapi beberapa cabaran dan antaranya adalah kekurangan modal. Oleh sebab kewangan keluarga adalah tidak stabil pada ketika itu, beliau mengambil langkah untuk menggunakan wang simpanan sendiri kerana tidak mahu menyusahkan ibunya. Walaupun ia agak berisiko, namun beliau tetap ingin meneruskan perniagaan tersebut. Selain itu, peningkatan harga barang turut menjadi cabaran kerana harga barang  yang meningkat menyebabkan pengeluaran produk  telah menjadi terhad kerana kekurangan modal. Kerenah pelanggan yang mempunyai pelbagai ragam turut menyebabkan peniaga baru seperti Cik Umi mengalami sedikit kesukaran untuk mengatasinya. Namun begitu, beliau berpegang kepada prinsip “kepuasan pelanggan keutamaan usahawan”. Beliau berusaha sedaya upaya untuk mengutamakan dan memenuhi kehendak pelanggan tanpa rasa jemu. Seterusnya, beliau turut mengalami persaingan dengan peniaga-peniaga lain. Memandangkan Cik Umi masih baru dalam perniagaan, beliau mendapati bahawa agak sukar untuk mengukuhkan perniagaannya setanding perniagaan yang lain. Oleh sebab itu, beliau melakukan sedikit inovasi dengan mengeluarkan empat jenis perisa dalam pengeluaran bertih jagung, iaitu perisa madu, vanilla, coklat dan  keju. Beliau juga mengubah bungkusan bertih jagung tersebut dalam bentuk yang menarik untuk dijadikan cenderamata bagi majlis-majlis tertentu. Inovasi yang dilakukan mendatangkan hasil apabila produk pernigaannya mula mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pembeli. Pengeluaran produk beliau semakin bertambah dari semasa ke semasa kerana beliau menerima tempahan untuk majlis-majlis perkahwinan, hari perayaan, sambutan hari lahir, majlis akikah, dan sebagainya. Produk-produk beliau juga telah dipasarkan ke negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Pahang. Pada usia yang begitu muda, pendapatan Cik Umi telah mencecah sehingga RM3,000 sebulan dan beliau juga berjaya untuk memiliki sebuah kereta hasil daripada titik peluh beliau sendiri. Walaupun perniagaan beliau semakin meningkat, namun beliau mengalami sedikit kesukaran, iaitu kekurangan tenaga kerja kerana permintaan daripada pelanggan semakin bertambah. Di samping itu, beliau juga mengalami kesukaran untuk memasarkan produk dengan lebih meluas ke negeri-negeri lain supaya produk tersebut lebih dikenali oleh orang ramai. Beliau cuba untuk menangani masalah ini dengan mempromosikan produk beliau menerusi media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Instagram, Wechat dan sebagainya.
Pada pendapat Cik Umi, jika seorang usahawan yang baharu ingin menceburi bidang perniagaan, dia hendaklah mempunyai beberapa kemahiran dan antaranya ialah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran ini sangat penting untuk menunjukkan keyakinan seseorang usahawan dan sekali gus dapat menarik minat pelanggan untuk membeli produk yang dipasarkan. Selain itu, usahawan baharu juga perlulah mempunyai kemahiran yang secukupnya mengenai cara untuk memasarkan produk agar mereka dapat bersaing dengan usahawan-usahawan yang lain. Seterusnya, Cik Umi berpendapat bahawa usahawan baharu mestilah mempunyai kemahiran untuk bertutur dalam bahasa Inggeris supaya mereka tidak ketinggalan dan produk mereka senang untuk dipasarkan. Selain itu, kemahiran teknologi  juga amat penting bagi usahawan baharu. Kemahiran ini dapat memudahkan mereka untuk menjalankan hubungan perniagaan dalam talian dan memudahkan mereka untuk mempromosikan produk mereka menerusi media sosial yang sedia ada memandangkan cabaran global yang mempunyai banyak persaingan, sesuai dengan istilah “dunia di hujung jari”. Nasihat Cik Umi kepada usahawan baharu yang ingin menceburi bidang perniagaan ialah mereka haruslah memperbetulkan niat mereka terlebih dahulu. Niat yang baik akan menjadikan seseorang usahawan itu berjaya walaupun terdapat pelbagai rintangan yang mendatang dan matlamat untuk berjaya akan mengatasi ketakutan untuk mencuba. Usahawan baharu juga seharusnya kuatkan semangat dalam menempuhi cabaran dalam perniagaan kerana dunia usahawan tidak semudah yang disangka disebabkan banyak persaingan yang mana menjual barangan yang sama tapi berlainan jenama dan kualiti. Hal ini memerlukan kreativiti dan proaktif daripada kalangan usahawan untuk memajukan perniagaan agar perniagaan mereka dapat bertapak dengan kukuh dan dikenali orang ramai.

Friday, 3 November 2017

Resepi Nutella Chruncy Brownies

Nutella Crunchy Brownies


Bahan-bahan
  • 100 g butter
  • 250 dark chocolate compound
  • 3 sb nutella
  • 150 g tepung gandum
  • 1 sk baking powder
  • 1 sk tepung beras
  • 2 bijik telur
  • 1/2 cawan gula perang
  • 1 sk esen vanilla
  • Kekacang (hazelnut, pecan, etc.)



Cara-cara
  1. Masukkan butter, dark chocolate compound dan nutella. Cairkan secara "double-boiler".
  2. Ayak tepung gandum, baking powder dan tepung beras.
  3. Dalam bekas yang berlainan, pukul telur, gula perang dan esen vanilla sehingga sekata.
  4. Masukkan adunan coklat tadi ke dalam adunan telur (masukkan ketika adunan coklat masih panas) dan kacau.
  5. Masukkan bahan-bahan yang diayak ke dalam adunan tadi dan kacau sekata.
  6. Lapikkan baking paper pada loyang, kemudian tuangkan dan ratakan adunan ke dalam loyang senipis yang boleh (lagi nipis lagi chantekk).
  7. Taburkan kekacang pada permukaan adunan.
  8. Bakar selama 25 hingga 30 minit (bergantung kepada oven masing-masing) dengan suhu 160 atau 170 darjah Celcius.
  9. Bila dah masak, potong brownies mengikut saiz yang diingini secepat yang boleh sementara brownies masih panas (jika dah sejuk, brownies mudah patah apabila dipotong).
  10. Tunggu sehingga brownies sejuk baru boleh angkat. Selamat mencuba!

Thursday, 2 November 2017

Siapakah Michael Bay?


Michael Bay


Michael Benjamin Bay atau lebih dikenali sebagai Michael Bay merupakan seorang penerbit serta pengarah filem dan rancangan televisyen di Amerika Syarikat. Beliau telah dilahirkan pada 17 Febuari 1965 di Los Angeles, California, USA dan dibesarkan oleh ibu bapa angkat beliau yang bernama Jimmy Bay, iaitu seorang akauntan dan Harriet Bay, pemilik sebuah kedai buku. Jimmy dan Harriet telah mengambilnya sebagai anak angkat sewaktu beliau berusia dua minggu. Beliau yang merupakan seorang warganegara Amerika Syarikat, telah mendapat pendidikan awal di Crossroads High School, Santa Monica, California, seterusnya di Art College Center of Design, Pasadena, California, dan akhir sekali di Wesleyan University, Middletown, Connecticut pada tahun 1986. Sewaktu beliau masih bergelar sebagai seorang pelajar di Art College Center of Design, beliau telah berjinak-jinak dalam bidang penyiaran dengan membuat iklan komersial mengenai Coca-Cola dan ketika beliau berada di Wesleyan University pula, beliau telah memenangi Frank Capra Award hasil daripada thesis ringkas tulisan beliau mengenai “Benjamin’s Birthday”. Oleh kerana minat yang mendalam mengenai bidang penyiaran dan penerbitan, beliau telah menjalani latihan dengan George Lucas semasa pengambaran “Raiders of the Lost Ark” semasa beliau berusia 15 tahun. Beliau berasa kagum apabila melihat filem di dalam teater dan hal ini mendorong beliau membuat keputusan untuk menjadi seorang pengarah filem pada suatu hari nanti.
Setelah tamat pengajian pada usia 24 tahun, Michael Bay mula bekerja dalam bidang perniagaan musik video di Propaganda Films. Beliau telah mencipta musik video untuk Tina Turner, Meat Loaf, Lionel Richie, Wilson Philips, Donny Osmond dan The Divinyls. Hasil usaha beliau membuahkan apabila beliau memenangi pencalonan anugerah MTV. Di samping itu, beliau turut menghasilkan iklan untuk jenama Nike, Reebok, Coca-Cola, Budweiser, dan Miller Lite. Beliau berjaya memenangi anugerah Commercial of thee Year di majlis Grand Prix Clio bagi iklan komersial “Got Milk/ Aaron Burr”.
Cita-cita beliau untuk menjadi seorang pengarah tercapai apabila beliau berjaya menghasilkan filem-filem yang bermutu tinggi dan mendapat tempat di hati penonton. Antara hasil karya beliau yang terkenal ialah Armageddon (1998), Pearl Harbor (2001),  Transformers (2007), Transformers: Revenge of the Fallen (2009), Transformers: Dark of the Moon (2011), dan Transformers : Age of Extinction (2014). Selain filem lain yang dihasilkan oleh beliau selain filem-filem tersebut seperti Bad Boys II (2003), The Island (2005), Pain & Gain (2013), dan sebagainya.
Antara pencapaian beliau ialah beliau telah menerima lima anugerah MTV Movie Awards: Best Movie and Summer Movie bagi filem Transformers dan seterusnya anugerah Best Action Sequence bagi filem Pearl Harbor, Bad Boys II, dan The Rock. Michael Bay turut menerima anugerah Outstanding Directorial Achievement in Commercials daripada Pengarah Kesatuan Amerika pada tahun 1994. Selain itu, Beliau juga menerima Anugerah Vanguard ShoWest 2009 atas kecemerlangan beliau dalam pembikinan filem. Beliau cukup terkenal kerana berjaya meraih kutipan yang tinggi menerusi filem yang penuh aksi beliau. Kebanyakan filem beliau mendapat kutipan melebihi $100 juta dollar kecuali filem Bad Boys dan The Island. Hal ini berjaya mengangkat beliau sebagai pengarah yang berjaya mencapai kutipan billion dollar dalam hasil seni yang dihasilkan oleh beliau.

Resepi Cadbury Chocolate Moist Cake

Cadbury Chocolate Moist Cake


Bahan-bahan kek (loyang saiz 8)
  • 4 bijik telur
  • 1 cawan gula
  • 1 sb ovalette
  • 1 sk emolco coklat
  • 1/2 cawan susu pekat
  • 1 cawan minyak masak
  • 2 cawan tepung
  • 1 sk baking powder
  • 1 sk soda bikarbonat
  • 1 sk garam halus
  • 1 cawan serbuk koko
  • 3/4 cawan air panas
Bahan-bahan chocolate ganache (sediakan 3 jam lebih awal)
  • 200 ml whipping cream
  • 300 g coklat masakan
  • 2 sb butter
Cara-cara Membuat Chocolate Ganache
  1. Masukkan whipping cream dan coklat masakan. Masak sehingga cair secara "double-boiler" atau dengan api yang perlahan.
  2. Masukkan butter dan kacau sehingga larut. Setelah larut, sejukkan.
Bahan-bahan Cadbury Cream
  • 250 g cream cheese
  • 7 sb susu pekat
  • 5 sb coklat cadbury yang telah dicairkan (kaedah double boiler)
  • 1 sk emolco coklat
  • 1 cawan whipping cream (non-dairy)
  • 2 sb chocolate ganache
  • 1/2 cawan whipping cream (non-dairy)
Cara-cara
  1. Masukkan telur, gula, ovalette, dan emolco coklat. Kacau sehingga gebu.
  2. Masukkan susu pekat dan minyak dan kacau sehingga sebati.
  3. Ayak tepung, baking powder, soda bikarbonat, garam halus dan serbuk koko.
  4. Masukkan bahan-bahan yang diayak sedikit demi sedikit dan kacau hingga sekata.
  5. Masukkan air panas dan kacau sebati.
  6. Kukus selama 35 hingga 40 minit.
  7. Untuk cream, masukkan cream cheese, cokat cadbury (dicairkan), emolco coklat dan susu pekat, kemudian mix sebati.
  8. Masukkan whipping cream (non-dairy) dan kacau sehingga kental.
  9. Masukkan 2 sb chocolate ganache dan kacau sebati.
  10. Sapu pada lapisan kek yang sudah dipotong kepada 3 dan sejukkan selama 2-3 jam.
  11. Mix 1/2 whipping cream (non-dairy) sehingga kental dan sapu pada permukaan luar kek. Sejukkan selama 1 jam.
  12. Tuang chocolate ganache di atas permukaan kek dan hiass mengikut kreativiti masing-masing.

Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan

Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada puisi tertua yang berkait rapat dengan kehi...