Friday, 27 October 2017

Resepi Brownies Cappuccino Nutella Loaded


Brownies Cappuccino Nutella Loaded (tak berkedut)


Bahan A :

  • 200g butter
  • 300g dark chocolate compound (saya guna jenama beryls)
  • 1 sk emolco cappuccino 
Bahan B :
  • 170g tepung self rising
  • 2 sb serbuk koko
  • 1 sk serbuk kopi 3 in 1 (bedal je jenama ape pun)
Bahan C :
  • 4 bijik telur
  • 150g gula perang (boleh kurangkan kalau korang tak suka manis)
  • 1 sk esen vanilla
Bahan D (topping) :
  • 4 sb nutella
  • sedikit minyak
  • 1 sk emolco cappuccino
Cara-cara
  1. Panaskan bahan A menggunakan cara "double-boiler" dan kacau hingga sebati.
  2. Seterusnya, ayak kesemua bahan B.
  3. "Whisk"kan kesemua bahan C sehingga sekata (tidak perlu sampai kembang).
  4. Masukkan bahan A yang telah dipanaskan sebentar tadi dan kacau.
  5. Kemudia, masukkan bahan B sedikit demi sedikit sambil kacau adunan tersebut sehingga sebati.
  6. Tuangkan adunan ke dalam loyang yang telah dilapik dengan baking paper dan bakar di dalam oven dengan suhu 170 darjah Celcius selama 40 minit atau sehingga masak.
  7. Untuk menyediakan topping, kacau kesemua bahan D sehingga sekata dan masukkan ke dalam piping bag.
  8. Apabila brownies dah masak, sejukkan seketika dan hias brownies menggunakan topping mengikut kreativiti sendiri.

Alat Artikulasi - Pita Suara

Gambar 1: Alat artikulasi


            Alat artikulasi merupakan organ yang berfungsi untuk mengeluarkan atau menghasilkan bunyi bahasa. Terdapat banyak alat artikulasi yang terlibat semasa proses pengeluaran bunyi bahasa, iaitu organ-organ yang terlibat dalam sistem pengeluaran udara yang keluar masuk ke dalam paru-paru untuk menghasilkan bunyi. Organ pertuturan manusia ini terbahagi kepada dua, iaitu organ yang boleh digerak-gerakkan dengan bebas dan organ yang terletak pada kedudukan yang kekal. Terdapat banyak alat artikulasi yang terlibat dalam pertuturan seharian manusia dan salah satu daripadanya ialah pita suara.


Gambar 2: Pita suara


Pita suara amat penting kerana ia dikenali sebagai ‘mesin’ penghasilan bunyi suara manusia. Ia merupakan salah satu alat artikulasi yang terletak di dalam ruang tenggorok dan lokasi pita suara adalah berada di antara larinks dan epiglotis. Pita suara merupakan lipatan yang terbentuk oleh jalur otot licin yang tipis yang terletak pada sisi bertentangan dengan saluran udara dan ia dilapisi oleh membran mukus. Ia juga bersambung dari bahagian depan hingga bahagian belakang larinks, dimana pita suara dilekatkan pada tulang rawan arytenoids yang muncul sebagai sepasang benjolan di dinding posteriornya. Penguncupan pita suara dikawal oleh sepasang saraf yang disebut sebagai saraflaryngeal yang berulang. Fungsi utama pita suara adalah menggetarkan udara yang keluar dari paru-paru untuk membentuk suara.
Oleh kerana pita suara terdiri daripada dua keping selaput nipis yang boleh terbuka dan tertutup, maka proses pengeluaran bunyi suara berlaku dengan cara memperluas dan mempersempit lubang yang terdapat di antara dua keping selaput berkenaan. Terdapat dua jenis bunyi yang berlaku ketika melalui pita suara, iaitu bunyi bersuara dan bunyi tidak bersuara. Bunyi bersuara terhasil apabila dua keping selaput pita suara dalam keadaan rapat dan menyebabkan tekanan pada pita suara apabila udara melaluinya sehingga menghasilkan getaran pada pita suara. Selain itu, bunyi tidak bersuara pula terhasil apabila udara keluar melalui dua keping selaput pita suara yang berkeadaan renggang. Tinggi rendah kelangsingan bergantung kepada bagaimana pita suara itu diubah suai. Ruang antara pita suara dinamakan sebagai glotis dan di kawasan tersebut terhasilnya bunyi hentian glotis (/?/). 


Gambar 3: Pita suara terbuka dan tertutup


            Bunyi tidak bersuara terhasil apabila dua keping selaput pita suara dalam keadaan terbuka. Bunyi ini tidak menggetarkan pita suara dan antara contoh bunyi yang dihasilkan adalah  seperti [p], [t]. [k], [s], dan [h]. Konsonan [t] dihasilkan apabila udara disekat dengan merapatkan dua bibir atau meletakan hujung lidah pada gusi, lalu lelangit lembut dinaikkan dan udara ditahan. Jika proses sekatan ini dilepaskan, maka terhasil bunyi [t], iaitu letupan gusi tidak bersuara. Seterusnya, bunyi [k] terhasil apabila belakang lidah dirapatkan ke lelangit lembut untuk menyekat arus udara dan bunyi [k] yang terhasil adalah letupan lelangit lembut yang tak bersuara. Bunyi [p] pula adalah letupan dua bibir tak bersuara kerana pita suara tidak bergetar ketika proses penghasilan bunyi. Ia terhasil apabila lelangit lembut dinaikkan dan bibir dirapatkan sehingga menyebabkan udara tersekat pada dua bibir berkenaan. Di samping itu, konsonan [s] dihasilkan apabila hadapan lidah dinaikkan ke gusi untuk membuat sempitan pada arus udara. Ketika ini, lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan ke bahagian belakang rongga tekak bagi menyekat arus udara ke rongga hidung dan pita suara direnggangkan. Bunyi geseran gusi tidak bersuara [s] terhasil apabila udara melalui rongga mulut tanpa menggetarkan pita suara. Konsonan [h] pula dinamakan bunyi geseran glotis tidak bersuara. Ia terhasil apabila udara keluar melalui pita suara yang renggang dan rongga mulut sama seperti ketika membunyikan vokal.              
Seterusnya, jika pita suara dalam keadaan tertutup ketika penghasilan bunyi, maka bunyi yang terhasil adalah bunyi bersuara. Bunyi bersuara ini bertindak menggetarkan pita suara dan antara contoh bunyi yang dihasilkan adalah [b], [d], dan [g]. Konsonan [d] dihasilkan apabila udara disekat dengan merapatkan dua bibir atau meletakan hujung lidah pada gusi, lalu lelangit lembut dinaikkan dan udara ditahan. Bunyi [d] terhasil apabila pita suara digetarkan, iaitu bunyi letupan gusi bersuara. Bunyi [g] pula adalah letupan lelangit lembut bersuara. Ia terhasil apabila pita suara dirapatkan dan arus udara keluar melalui rongga mulut menggetarkan pita suara. Seterusnya, konsonan [b] merupakan letupan dua bibir bersuara kerana pita suara bergetar semasa proses penghasilan bunyi. Ia terhasil apabila lelangit lembut dinaikkan dan bibir dirapatkan. Udara pula tersekat pada dua bibir berkenaan dan udara tersebut dipaksa keluar.
Kesimpulannya, pita suara merupakan salah satu alat artikulasi yang penting dalam proses penghasilan bunyi bahasa. Oleh sebab itu, pita suara perlulah dijaga dengan sebaik mungkin dan digunakan tanpa melebihi batas ketahanannya kerana jika ia digunakan secara berlebihan, ia akan menyebabkan berlakunya kerosakkan pada pita suara berkenaan seperti laringtis.

Saturday, 7 October 2017

Resepi Nutella Moist Chocolate Indulgence

Nutella Moist Chocolate Indulgence


Bahan-bahan kek (loyang saiz 8)

Bahan A
  • 4 bijik telur
  • 3/4 cawan gula halus
  • 1 sb ovalate
  • Sedikit emolco coklat


Bahan B
  • 1 cawan susu pekat (boleh kurangkan kalau tak nak manis)
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 3 sb nutella (nak letak banyak pon boleh, lagi sedap.. Nyum!)


Bahan C
  • 1 3/4 cawan tepung
  • 1 sk baking powder
  • 1 sk soda bikarbonat
  • Sedikit garam
  • 1 cawan serbuk koko
  • (kesemua bahan C perlu diayak terlebih dahulu)


Bahan D
  • 1/2 cawan air panas (air panas ye, bukan air suam)


Cara-cara
  1. Mix semua bahan A sampai gebu.
  2. Masukkan bahan B, iaitu susu pekat, minyak masak, dan nutella. Mix semua hingga sebati.
  3. Kemudian, masukkan bahan C dan kacau sebati.
  4. Masukkan bahan D dan kacau lagi dan lagi hingga adunan tersebut sebati.
  5. Sapu loyang dengan sedikit marjerin atau butter (tak nak bagi kek melekat) sebelum tuang adunan ke dalam loyang. Lepas adunan dituang, tutup permukaan loyang dengan plastic wrapping atau kain yang bersih.
  6. Kukus selama 40 minit. Kalau nak tahu kek tu dah masak atau belum, cucuk kek dengan menggunakan lidi. Jika adunan kek masih melekat kat lidi, tu tandanya belum masak ye.
  7. Bile dah masak, sejukkan kek kemudian belah kepada 3 atau 4 bahagian secara mendatar.


Bahan-bahan cream
  • 250g cream cheese
  • 6-7 sb susu pekat (kalau tak ade, guna gula ising dengan sukatan yang sama)
  • 1 1/2 cawan whipping cream (non-dairy)
  • 3 sb chocolate ganache
  • 3 sb nutella (boleh letak lebih, ikut citarasa)
  • Sedikit emolco coklat


Cara-cara
  1. Masukkan cream cheese dan susu pekat. Mix sebati.
  2. Masukkan whipping cream (seeloknya guna time sejuk2) dan mix hingga gebu.
  3. Bahagikan kepada dua bahagian.
  4. 1 bahagian letak chocolate ganache, nutella, dan emolco coklat. Kacau hingga rata.
  5. Sapu dua jenis cream tersebut pada kek dengan warna yang berselang-seli.
  6. Bile dah siap, sejukkan selama 4 jam (wajib!)


Bahan-bahan chocolate ganache
  • 200g whipping cream (dairy)
  • 1 sk emolco coklat
  • 200g coklat masakan
  • 2 sb butter


Cara-cara
  1. Panaskan whipping cream secara double boiler
  2. Masukkan coklat masakan dan kacau hingga coklat tersebut cair dan sebati.
  3. Masukkan butter dan emolco coklat. Kacau hingga adunan coklat tu menjadi pekat.
  4. Sejukkan dan tuangkan pada kek. Ratakan dan sejukkan selama 1 jam. Taraaaa, dah siap!


Selamat mencuba! (^-^)

Friday, 6 October 2017

Diari Sebuah Kehidupan


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua. 

Nama saya ialah Wan Aida Syahera Binti Wan Rasmi atau lebih mesra dipanggil sebagai Aida. Saya merupakan anak kelahiran negeri Kelantan. Saya dilahirkan pada tanggal 22 Julai 1996 di Hospital Besar Kota Bharu pada pukul 4.47 pagi. Sepanjang berusia 21 tahun, saya dibesarkan di Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan. Saya merupakan anak kelima daripada enam orang adik beradik. Saya mempunyai seorang kakak, tiga abang, serta seorang adik perempuan.

Alhamdulillah, buat masa sekarang saya masih mempunyai kedua-dua ibu bapa yang prihatin dan penyayang. Ayah saya bernama Wan Rasmi Bin Abdullah. Beliau telah berusia 58 tahun dan bekerja sendiri. Beliau adalah seorang yang tegas, namun ketegasan tersebut bertujuan mendidik dan menjadikan anak-anak beliau menjadi insan yang baik. Selain itu, ibu saya pula bernama Zunainah Binti Daud dan beliau adalah suri rumah sepenuh masa. Ibu saya yang berumur 55 tahun  merupakan seorang yang penyayang, prihatin, mementingkan adap dan adat, serta boleh memainkan peranan sebagai seorang kawan yang baik.

Pada tahun 2002 hingga tahun 2008, saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Kota. Selepas tamat darjah enam, saya meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota sehingga tahun 2013. Pada tahun 2014 pula, saya ditawarkan untuk meneruskan pengajian di peringkat diploma di UiTM, namun tawaran tersebut ditolak kerana saya lebih berminat untuk memasuki tingkatan enam aliran kemanusiaan. Saya meneruskan pengajian di tingkatan enam di sekolah yang sama, iaitu SMK Kota selama tiga semester. Berkat usaha dan doa ibu bapa, saya berjaya menjejakkan kaki ke kampus induk Universiti Sains Malaysia pada tahun 2016 dalam aliran sastera di bawah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Alhamdulillah, buat masa sekarang saya sudah berada di tahun dua dengan bermajorkan Bahasa Melayu dan berminorkan Sastera.



Saya berharap dengan adanya blog ini, saya mampu untuk mengasah bakat penulisan saya agar menjadi lebih baik serta dapat berkongsi ilmu yang saya ada dengan orang lain kerana ilmu adalah pelita kehidupan. 
Sekian sahaja daripada saya, terima kasih.


Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan

Peribahasa Memasang Lukah Di Pergentingan Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada puisi tertua yang berkait rapat dengan kehi...