“Selamat
pengantin baru,
Selamat berbahgia,
Selamat ke anak
cucu,
Selamat sejahtera.”
Masih
kedengaran nyanyian lagu “Selamat Pengantin Baru” yang
didendangkan dengan begitu merdu sekali oleh sahabatku, Adriana pada
hari yang paling bahagia dalam hidupku. Persembahan silat diiringi
paluan kompang menghiasi majlis dan memeriahkan suasana yang awalnya
suram. Aku memilih untuk mengakhiri zaman bujangku tatkala mencecah
umur 22 tahun.
“Macam
tak ade lelaki lain aje nak dijadikan suami. Suami orang juga yang
dipilihnya.”
“Alahh,
‘pisau cukur’ memang macam tu. Pantang nampak lelaki kaya, habis
dia nak sapu.”
Begitulah
cemuhan dan tomahan yang aku terima tatkala aku membuat keputusan
untuk berkahwin dengan lelaki yang aku cintai, Hisham. Ya, beginilah
akibatnya jika membuat keputusan untuk berkahwin dengan seseorang
yang berpangkat tinggi dan bergelar suami orang, namun bukan harta
yang aku kejar. Pernah aku cuba untuk menafikan perasaan cintaku
terhadap dia kerana aku tidak ingin menyakiti hati wanita lain, namun
akhirnya aku tewas. Aku terlalu menyayangi dia dan aku nekad untuk
berhadapan dengan semua risiko yang bakal aku hadapi. Mungkin ini
adalah takdir yang telah terukir dalam hidupku.
Aku
memberanikan diri untuk bertemu dengan isteri dia dan pertemuan itu
disambut dengan baik. Raut wajah wanita itu cukup tenang dan
menyejukkan mata. Ketakutan yang menyelubungi hati mulai hilang
apabila aku memandangnya. Dia memulakan bicara dengan membahasakan
dirinya sebagai Kak Juehana. Walaupun dia sudah mengetahui tujuan
kehadiranku, namun dia masih mampu untuk tersenyum dan melayaniku
dengan baik. Aku mula menyusun kata bagi menyampaikan hasratku untuk
menjadi isteri kedua kepada suaminya.
“Baiklah,
akak benarkan. Janji dengan akak, jaga suami akak elok-elok ya. Itu
aje yang akak minta. Tak susah, bukan?”
Tanpa
dijangka, hasratku diterima dengan tenang. Aku terkejut dengan reaksi
yang ditunjukkan oleh Kak Juehana kerana aku yakin tiada seorang pun
wanita ingin hidup bermadu. Dia berbeza daripada wanita lain. Dia
melayani aku seperti adiknya sendiri, malah dia turut membantuku
untuk menyiapkan persiapan perkahwinan. Disebalik senyuman yang
terukir di bibirnya, aku nampak kesakitan yang cuba dia sembunyikan.
Oleh kerana karier aku sebagai seorang pelakon dan model, dia tidak
meminta lebih daripada aku, cukup sekadar aku tidak melibatkan dia
dan suami dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan kerjaya aku.
Aku akur kehendaknya.
***
“Uweekkkk...
Uweekkk…”
Tangisan bayi memecahkan
kesunyian pada dini hari. Dingin subuh tak terasa, kesakitan yang aku
rasai bagaikan tubuh disiat-siat hilang dalam sekelip mata tatkala
aku mendengar tangisan suara-suara kecil tersebut. Masa berlalu
begitu pantas tanpa aku sedari. Akhirnya, setelah dua tahun aku
mendirikan rumah tangga bersama Hisham, kami dikurniakan sepasang
cahaya mata kembar sebagai pelengkap dan penyeri hidup kami pada
tanggal 10 Jun 1996. Tiada kata yang mampu aku ungkapkan pada ketika
itu selain lafaz syukur ke hadrat Ilahi atas pemberian terindah ini
kerana aku sedar bahawa tidak semua wanita mampu untuk merasai
pengalaman sebegini.
Tubuh
kecil yang berlumuran darah telah dibersihan, bau darah masih
mencucuk rongga hidung. Aku peluk cium kedua-duanya. Sungguh, jari
jemari yang halus dan kecil itu menyentuh hati kecil aku. Aku
mengucup pipi gebu mereka. Terasa nyaman sekali apabila aku menghidu
bau mereka. Ya, bau dari syurga. Air mata mengalir lembut tatkala aku
sedang leka menatap dan mengusap wajah-wajah mereka yang masih
kemerah-merahan. Aku tidak menyangka bahawa pada usia 24 tahun, aku
sudah menjadi ibu. Perasaan gembira pada ketika itu terlalu sukar
untuk aku gambarkan.
“Hari
tu sayang cakap sayang nak pilih nama untuk anak kita, kan? Dah pilih
ke belum?” tanya suamiku sambil mengusap lembut rambutku.
“Dah,
bang. Anak kita yang pertama ni saya nak namakan dia Muhammad Syafiq
Haikal dan yang kedua ni Muhammad Syakhir Hadiff. Cantik kan nama
mereka, bang?” aku soal sambil melirik manja ke arah Hisham.
***
Hari
silih berganti hari, Syafiq dan Syakhir kini kian membesar. Rasanya
baru sahaja semalam aku melahirkan mereka, namun kini usia mereka
sudah mencecah tiga tahun. Semenjak adanya kehadiran mereka, aku
menerima lebih banyak tawaran berlakon berbanding sebelum ini. Bak
kata orang, rezeki anak tak kemana. Walaupun aku sibuk melakar
kerjaya dalam bidang seni, namun tidak pernah sesekali aku
membenarkan kerjayaku meragut masa dan ruangku untuk bersama
anak-anak.
Kesibukan
kerja tidak pernah menjadi alasan untuk aku mengabaikan tanggungjawab
terhadap anak-anak. Kerjaya sebagai pelakon sememangnya tidak semudah
apa yang disangka terlalu banyak komitmen yang tinggi diperlukan,
namun sebagai seorang ibu, aku tidak akan membiarkan anak-anakku
terabai dek kerjaya. Dalam tempoh tiga tahun, aku menjaga Syafiq dan
Syakhir ibarat menatang minyak yang penuh. Bagi aku, melihat mereka
membesar di hadapan mataku sendiri adalah satu detik yang paling
berharga dalam hidup aku.
“Ibu,
nak shushu,” pinta Syakhir.
Dengan
segera aku mengangkat punggung dari kerusi rotan dan terus menuju ke
dapur. Belum sempat aku siap membancuh susu, kedengaran suara
tangisan Syakhir dari ruang tamu. “Haus agaknya budak ni,”
fikirku. Gerak langkahku segera diatur menuju ke arah anak kecilku
sebelum tangisan tersebut menjadi semakin kuat. Sedang leka aku
memerhati karenah anak-anak yang sedang sibuk bermain pada petang
itu, aku disapa dengan perasaan hairan. Mana tidaknya, aku melihat
kebolehan Syafiq dan Syakhir jauh berbeza. Syakhir sudah pandai
berkata-kata walaupun agak pelat, namun si abangnya belum
mengeluarkan sepatah kata. Tidak ada sebaris ayat yang keluar
daripada bibir Syafiq. Ada kalanya Syafiq bertindak menghantuk
kepalanya ke dinding sehingga bengkak.
“Kenapa
tiada sepatah perkataan pun mampu dituturkan oleh Syafiq? Normal ke
budak sebesar ini masih tidak mampu bercakap dan berkelakuan
sebegini? Aishh, tak boleh jadi ni,” getus hati kecilku.
Keesokan
harinya, aku membawa Syafiq dan Syakhir berjumpa dengan pakar
psikiatri kanak-kanak bagi mendapatkan kepastian mengenai hal
tersebut. Aku cuba berlagak tenang ketika anak-anakku diperiksa
walaupun jauh di lubuk hati, peraaan gelisah menghantui aku.
“Puan,
saya harap puan kuat ye,” Doktor Am mula bersuara.
Mendengar
kata-kata yang dikeluarkan oleh Doktor Am mula membuatkan aku semakin
gelisah. “Mesti ada benda tak kena ni,” fikirku. Senyumanku mula
pudar, wajahku yang pada awalnya tersenyum manis memandang doktor
tersebut mula bertukar menjadi serius.
“Kenapa,
doktor? Apa yang tak kena dengan anak saya? Anak saya baik-baik aje
kan?” perasaan ingin tahu mula memuncak dalam diriku.
“Maaf
puan. Selepas saya memeriksa anak-anak puan, saya mendapati kedua-dua
anak puan mengalami masalah autisme, tetapi autisme yang dialami oleh
mereka berdua adalah berlainan. Si abang ni menghidapi autisme tahap
hyperactive, si adik
pula menghidapi austime tahap sederhana. Saya tahu berat untuk puan
terima semua ni tapi saya harap puan banyakkan bersabar. Puan jangan
bimbang. Saya akan bekalkan ubat penenang kepada Syafiq memandangkan
dia tergolong dalam hyperactive. Puan
perlu pastikan dia telan ubat ni dua kali sehari.”
Aku
terdiam seribu bahasa mendengar kata-kata tersebut. Seakan sebuah
tamparan hebat mengena tepat ke arah muka. Hati aku bagai dipukul
badai .Mata aku mula berkaca, manik-manik jernih mulai mengalir laju
bagaikan air terjun. Aku terkejut dengan apa yang diperkatakan.
Mereka persis kanak-kanak normal. Raut wajah dan reaksi mereka sama
seperti kanak-kanak lain. “Tidak mungkin anak-anakku menghidapi
autisme,” aku cuba menafikan kebenaran. Terasa hidupku gelap
seketika mengetahui kebenaran ini. Walaupun sakit, aku reda pada
ketentuan takdir. Aku terima segala kekurangan mereka. Aku percaya
semua ini berlaku, mesti ada hikmahnya.
***
Kehidupanku
membesarkan anak-anak autisme menjadi semakin mencabar hari demi
hari. Makin mereka membesar, kian hebat cabaran yang perlu aku
tempuh. Kini, Syafiq dan Syakhir sudah mencecah sepuluh tahun. Mereka
sudah pun memiliki dua orang adik, iaitu Syahmi dan Syarif.
Alhamdulillah kedua-duanya adalah normal. Sungguhpun begitu, dengan
berat hati terpaksa aku serahkan Syahmi dan Syarif dibawah jagaan Kak
Juehana demi keselamatan mereka. Mana tidaknya, kelakuan Syafiq dan
Syakhir sukar untuk diduga.
Walaupun
kedua-dua mereka menghidapi autisme, namun karakter mereka cukup
berbeza. Mereka ibarat saling melengkapi antara satu sama lain.
Kelakuan Syafiq lebih terdorong kepada hiperaktif, mood tidak dapat
dijangka, serta tidak boleh membaca dan berkomunikasi. Berbeza
sekali dengan Syakhir, Syakhir lebih bersifat sebagai pelindung
kepada abangnya. Apabila aku membawa mereka keluar berjalan-jalan,
Syakhir akan segera memegang tangan Syafiq kerana khuatir abangnya
akan lari dan menghilangkan diri. Syakhir juga mahir dalam pengiraan
dan mengingat sesuatu perkara. Aku terkejut apabila dia mampu
mengingati nama kesemua Perdana Menteri Malaysia termasuk tarikh
pemerintahannya. Aku tergamam dengan kebolehan yang ada pada dirinya.
Namun begitu ada kalanya Syakhir mula bertindak kasar. Dia akan
memukul orang yang rapat dengannya apabila kehendaknya tidak dituruti
dan moodnya tidak baik.
Oleh
kerana aku melihat kebolehan terdapat pada diri Syakhir, aku membuat
keputusan untuk menghantarnya ke sekolah, manakala Syafiq pula perlu
tinggal di rumah untuk dipantau dengan rapi. Selepas beberapa tahun,
aku terpaksa memberhentikan Syakhir dari sekolah setelah dia
menghilangkan diri ketika habis waktu persekolahan. Puas aku
mencarinya dari tengah hari hingga ke malam, akhirnya ditemui apabila
polis menelefonku dan memberitahu bahawa anakku berada di balai
setelah dijumpai sesat di tengah kota. “Apa yang akan jadi
sekiranya polis tidak menjumpai Syakhir? Bagaimana jika dia dilanggar
ketika melintas jalan?” fikiranku kusut memikirkan nasib akan
mungkin menimpa Syakhir. Setelah peristiwa itu, aku serik untuk
menghantar Syakhir ke sekolah.
Aku
tidak segan memperkenalkan Syafiq dan Syakhir kepada orang ramai.
Sering sahaja aku membawa mereka keluar semata-mata ingin mendedahkan
mereka kepada persekitaran suasana luar agar mereka tidak terkongkong
di dalam dunia mereka sahaja. Meskipun begitu ada sahaja peristiwa
yang tidak diingini akan berlaku. Pernah aku membawa mereka keluar
makan di sebuah restoran. Seperti biasa, Syafiq tidak duduk diam. Dia
berjalan ke hulu ke hilir dan tanpa aku sedari, dia bertindak meminum
air pelanggan yang lain.
“Woi!
Engkau dah kenapa? Tak ada duit ke nak beli air sampai minum air
orang?” tengking pelanggan tersebut sehingga membuatkan pelanggan
yang lain tersentak dengan laungan suaranya.
“Maafkan
saya, encik. Anak saya autisme. Tolong maafkan dia. Nanti saya ganti
balik,” pintaku.
“Dah
tahu anak tu autisme buat apa bawa dia keluar? Tak reti nak simpan
elok-elok dekat rumah? Menyusahkan orang tahu tak?!” tengkingnya
lagi.
“Tolong
cakap elok-elok, encik. Saya dah minta maaf, apa lagi yang encik
mahukan? Setakat air ni bukannya saya tak mampu nak bayar. Lagipun,
anak saya bukannya saje-saje nak bertindak sedemikian. Tolong cakap
guna akal lain kali,” aku membela Syafiq
Aku
meminta pelayan untuk menggantikan air tersebut, lalu aku menuju ke
kaunter untuk membayarnya. Aku menarik tangan Syafiq dan Syakhir
keluar dari tempat itu. Syafiq dan Syakhir hanya mengikut gerak
langkah yang aku atur dengan wajah yang kebingungan. Air mataku
mengalir laju mengenangkan peristiwa itu.
“Mengapa
orang tidak boleh mengerti dan menerima kekurangan anak-anak aku? Apa
salah mereka? Bukan mereka minta untuk lahir sebegini,” rintihku.
Tiada
seorang ibu pun yang mampu menahan perasaan apabila anak-anak mereka
diherdik, ditengking, dan dimalukan di hadapan orang ramai atas
kesalahan yang tidak mereka sengajakan. Kanak-kanak autisme sering
dilayan dengan kasar kerana kurangnya kesedaran dalam kalangan
masyarakat. Sedang aku menahan perasaan amarahku, dengan tidak
semena-mena Syafiq dan Syakhir datang memeluk dan mencium dahiku.
Mereka seakan-akan mengerti akan perasaanku.
***
Aku
diuji dengan hebat ketika usiaku genap mencecah 35 tahun. Peristiwa
yang terjadi pada 22 Julai 2007 masih tidak mampu untuk aku lupakan.
“Kring….
Kring….,” telefon berbunyi.
“Assalamualaikum,
Sofea. Sofea ada kat mana?” soal ibuku dengan nada yang cemas.
“Sofea
ada kat set, tengah
tunggu scene yang
seterusnya. Kenapa, mak?” tanyaku dengan hati yang kurang enak.
“Balik
cepat, Sofea. Syafiq dan Syakhir bergaduh teruk ni, siap ambil pisau
kat dapur.”
Hatiku
tidak keruan. Aku meletakkan panggilan ibuku, dan menelefon polis
dengan segera. Aku mencapai beg tangan dan terus beredar dari set
tanpa memikirkan kru produksi yang lain.
Sebaik tiba di rumah, polis telah pun selamat meleraikan pergaduhan
antara dua beradik tersebut. Aku bersyukur kerana tiada sebarang
kecederaan yang dialami oleh mereka.
Tindakan
aku meninggalkan set tanpa
sebarang kata menyebabkan aku dimarahi oleh pihak produksi dan aku
dilabelkan sebagai artis yang bermasalah. Aku nekad untuk
mengorbankan kerjayaku. Bukan kerana aku makan hati dengan apa
diperkatakan oleh pihak produksi kerana aku akui itu merupakan
kesalahanku, tetapi aku melakukan kesemua ini demi kepentingan
anak-anakku. Peristiwa itu membuatkan aku sedar bahawa tempatku
sebenarnya adalah di rumah, memantau pergerakan anak-anak dan
memberikan mereka perhatian yang lebih.
Di
rumah, aku cuba mencari sumber pendapatan sampingan sambil menjaga
Syafiq dan Syakhir. Aku membuat keputusan untuk berniaga barangan
kosmetik, kuih raya, pakaian, pulut kuning. Perniagaanku banyak
dibantu oleh Kak Juehana. Dia memberikan banyak aku tunjuk ajar dalam
selok-belok perniagaan memandang dia juga merupakan usahawan. Aku
bersyukur kerana dikurniakan seorang madu yang cukup baik budi
pekertinya, yang sanggup menjaga anak-anakku dan membantuku dalam
bidang yang baru aku ceburi, iaitu perniagaan. Pada awalnya aku
hampir putus asa dalam bidang perniagaan kerana produk-produk
jualanku mendapat sambutan yang hambar, tetapi Kak Juehana tetap
mendorongku dengan kata-kata semangat beliau untuk meneruskan langkah
ke hadapan.
“Suami
dia berpangkat Datuk Seri tapi hidup dia dan anak-anak macam kena
abaikan aje aku tengok.”
“Tu
la. Lain kali kahwin lagi dengan laki orang. Dia ingat dia kahwin
dengan orang kaya, dia dapat hidup senang? Memang tak la.”
Aku
hanya mampu tersenyum mendengar ayat-ayat sebegitu walaupun agak
pahit untuk ditelan. Hisham tidak pernah mengabaikan
tanggungajawabnya terhadap aku dan anak-anak, cuma aku sahaja yang
tidak boleh duduk diam mengharapkan duit seorang lelaki. Walaupun aku
berkahwin dengan orang yang berpangkat tinggi, namun aku masih perlu
berdikari kerana aku ingin membuktikan bahawa aku bukannya seorang
kaki kikis.
***
“Pang!!”
kedengaran bunyi kaca pecah dari tingkat atas.
Aku
yang sedang sibuk mengukus pulut kuning terus bergegas naik untuk
melihat apa yang terjadi.
“Arghhhhhh!!!!
Arghhhhhhhh!!!” Syafiq memberontak.
“Abang,
bertenang, bang. Ibu ada ni,” pujukku.
Syafiq
yang tidak dapat mengawal dirinya bertindak membaling kotak hiasan
yang diperbuat daripada kayu ke arahku. Kotak itu singgah tepat di
dahiku. Mataku berpinar, kepalaku sakit. Terasa cecair merah hangat
mengalir di dahiku. Aku melihat Syafiq memukul-mukul dirinya. Dia
melompat ke sana ke sini di atas katilnya sehingga katil tersebut
roboh. Kepalanya dihantuk ke dinding sehingga wajah dan bajunya
berlumuran darah. Syakhir dengan segera mencapai dan memaksa Syafiq
menelan ubat penenang yang dibekalkan oleh doktor, namun Syafiq
bertindak lebih agresif dengan memukul wajah adiknya.
Aku
mula hilang sabar. Aku gagahkan diri aku untuk bangun dan terpaksa
mengasari Syafiq untuk menelan ubat tersebut. Aku juga memaksa diriku
dan Syakhir untuk menelan ubat yang sama kerana aku sudah tidak tahan
dengan apa yang berlaku. Entah hantu mana yang sampuk aku pada ketika
itu sehingga aku bertindak sedemikian.
Tidak
sampai satu jam selepas aku menelan ubat tersebut, aku terus lembik
dan terbaring tak berdaya. Aku merasakan seakan satu badanku lumpuh
serta-merta. Kepalaku berpusing. Mata ku terkatup, gelap gelita. Aku
dalam keadaan sedar tetapi aku tidak mampu untuk melangkah walaupun
setapak. Aku melihat ke arah Syafiq dan Syakhir. Mereka turut
terkulai layu.
“Ya
Allah! Inikah kesan ubat yang kami paksa Syafiq untuk telan setiap
hari? Inikah ubat yang telah membisu, menuli, dan membutakan segala
pancaindera manusiawinya sehingga dia lemah selemahnya, tidak
berdaya?” raung hati kecilku.
Ya,
selepas peristiwa itu, aku nekad untuk menghentikan pemberian ubat
kepada Syafiq. Aku tahu risiko yang perlu aku hadapi amat tinggi,
namun aku tidak sanggup menyeksa anak kandungku sendiri. Memaksanya
mematuhi rutin ubat-ubatan itu membuatkan aku sedar betapa aku telah
merampas waktu gembiranya. Betapa aku telah merentap waktu sedarnya.
Aku menzalimi saat bebasnya, aku pejamkan matanya sewaktu dia masih
mahu melihat. Biarlah dia meronta. Selagi mampu aku tenangkan, aku
akan tenangkannya. Benarlah sebagai seorang ibu, kita harus mengambil
tahu apa yang kita suap ke dalam mulut anak-anak kita. Terkadang kita
mementingkan diri sendiri. Kita sanggup membiarkan anak-anak menelan
ubat yang menyeksa badan semata-mata untuk ketenangan diri sendiri.
Aku berasa sangat bersalah kepada Syafiq. Aku berjanji kepada diriku
sendiri, aku tidak akan sesekali membiarkan Syafiq menyentuh ubat itu
lagi kecuali saat-saat yang amat memerlukan dia menelannya.
***
Alhamdulillah,
hidupku kini semakin ceria. Setelah sepuluh tahun aku menyepi,
akhirnya aku kembali semula ke dalam bidang lakonan. Aku bersyukur
kerana kebanyakan pihak produksi mampu untuk memahami situasi yang
aku alami. Mereka turut memberi kata-kata semangat untuk aku
meneruskan perjuanganku membesarkan anak-anak autisme.
Syafiq
dan Syakhir sudah pun dewasa. Walaupun adakalanya mereka masih
memberontak dan tidak mampu untuk dikawal, namun aku semakin kuat dan
tabah untuk mengharungi semua ini. Terima kasih kepada Tuhan kerana
meminjamkan aku kekuatan ini. Benar, Allah tidak akan memberi kita
sesuatu ujian yang tidak mampu kita hadapi. Ujian yang diberi adalah
tanda Dia masih sayang akan hambaNya. Kehadiran Syafiq dan Syakhir
merupakan satu hidayah bagiku. Aku mula mendekati Allah dengan
semakin rapat dan atas nasihat serta teguran Syakhir, aku mula
mengubah penampilanku dengan memakai hijab. Dia juga sering
mengingatkan aku mengenai solat lima waktu setiap kali azan
berkumandang. Sungguh indah aturan hidup yang Engkau ciptakan
untukku, Ya Allah. Aku bersyukur kepadaMu kerana mengurniakan aku
anak-anak syurga yang begitu indah.
Aku
tahu bahawa kesedaran mengenai autisme masih kurang dalam kalangan
masyarakat di sekelilingku. Sering sahaja aku memuat naik gambar dan
video mengenai kehidupan Syafiq dan Syakhir menerusi laman sosial,
tetapi seperti biasa ada sahaja masyarakat yang mencemuh dan
berpendapat bahawa aku cuba meraih simpati murahan. Aku tidak
berkecil hati, malah aku sentiasa berdoa agar masyarakat dapat
melihat mesej yang ingin aku sampaikan melalui setiap sisipan gambar
dan video tersebut. Bukan simpati yang aku minta, cuma kesedaran
daripada kalian agar anak-anak autisme ini diberi perhatian dan
dibelai sama seperti anak-anak normal yang lain.
Hidup
ini cukup indah sebenarnya jika kita cuba mendalami setiap ujian yang
diturunkan oleh Tuhan. Ujian tersebut bukanlah satu beban, tetapi
merupakan satu tiket yang membawa kita kepada kebahagiaan yang
mendatang. Anak-anak autisme bukan bahan kutukan, ia adalah titipan
teristimewa daripada Tuhan. Mereka terlahir ke dunia untuk disayangi
tanpa sebarang kekerasan. Ibu bapa tidak perlu malu. Tuhan menitipkan
anak istimewa kepada kita kerana kita ialah ibu bapa yang istimewa di
mata Tuhan.